
SHAH ALAM, 6 DIS: Jumlah mangsa banjir di Selangor terus menunjukkan trend penurunan dengan hanya 269 orang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 9 pagi ini.
Maklumat daripada laman web InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, angka tersebut melibatkan 90 keluarga di tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Hulu Langat dan Sabak Bernam.
Kuala Selangor kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu seramai 190 orang daripada 69 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS melibatkan dua mukim.
Daerah Hulu Langat pula mencatatkan 76 mangsa daripada 19 keluarga, dengan hanya satu PPS masih beroperasi bagi menempatkan penduduk dari satu mukim terjejas.
Sabak Bernam mencatat jumlah mangsa terendah dengan hanya tiga individu daripada dua keluarga yang kini berada di satu PPS.
Penurunan ini menunjukkan situasi banjir di negeri ini semakin pulih berbanding semalam apabila sebanyak 616 orang daripada 187 keluarga masih ditempatkan di sembilan PPS.
Semalam, Kuala Selangor mencatatkan 474 mangsa yang berlindung di lima PPS, manakala jumlah keseluruhan mangsa pada waktu pagi mencecah 896 orang membabitkan 267 keluarga.
Orang awam dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mendapatkan maklumat sahih daripada saluran rasmi seperti InfoBencana JKM dan Jabatan Meteorologi Malaysia.



