Banjir Selangor: 883 mangsa masih berlindung di lima pusat pemindahan

LocalEnvironment
10 Nov 2026 • 6:57 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Banjir Selangor: 883 mangsa masih berlindung di lima pusat pemindahan

SHAH ALAM, 10 NOV: Seramai 883 mangsa banjir daripada 247 keluarga masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Selangor setakat petang ini.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela, SK Parit Mahang, Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching, Sekolah Agama Batu 8 Ijok dan SK Jaya Setia.

Berdasarkan pecahan mangsa, SK Dato' Maharaja Lela mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 420 orang daripada 118 keluarga, diikuti SK Parit Mahang dengan 241 mangsa daripada 61 keluarga.

Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching pula menempatkan 132 mangsa daripada 42 keluarga, manakala Sekolah Agama Batu 8 Ijok merekodkan 77 mangsa daripada 21 keluarga.

Sementara itu, SK Jaya Setia menempatkan 13 mangsa daripada lima keluarga.

Dalam perkembangan berasingan, seramai 20 mangsa daripada lima keluarga yang terjejas akibat tanah runtuh masih berlindung di PPS Balai Raya Kampung Kenanga di daerah Gombak.

Menurut portal sama, data pemindahan akibat tanah runtuh itu dikemas kini setakat jam 7.25 pagi ini.

Secara keseluruhan, seramai 903 mangsa daripada 252 keluarga masih ditempatkan di enam PPS di Selangor susulan kejadian banjir dan tanah runtuh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved