Banjir Terengganu: Sayunya hati mek ‘pergi’ dalam keadaan dilanda musibah

19 Dec 2022 • 6:15 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JERTIH: Perasaan sayu menyelubungi sebuah keluarga di Kampung Gaung di sini, apabila ‘mek kesayangan’ meninggal dunia dalam keadaan mereka sedang diuji dengan musibah banjir yang disifatkan sebagai terbesar melanda kawasan itu sejak lapan tahun lepas.

Nik Mohd Fhaiez Mohd Khalil, 30, berkata neneknya berusia 81 tahun yang mesra disapa ‘mek’ oleh semua anak serta cucu, sememangnya telah terlantar di rumah sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 8 malam tadi akibat komplikasi pelbagai penyakit kronik.

“Saya pulang dari Kuala Krai, Kelantan malam tadi untuk ziarah mek dan sempat jumpa sebelum mek meninggal... Masa saya balik boleh lagi kereta masuk ke kawasan rumah, tapi kira-kira pukul 3 pagi tadi air naik mendadak dan hanya bot saja boleh lalu.

“Paras air banjir lebih satu meter dan kami menghadapi kesukaran untuk membawa keluar jenazah mek. Namun alhamdulillah jam 10 pagi tadi kami berjaya bawa jenazah mek keluar dengan bot sukarelawan,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata jenazah neneknya kemudiannya dibawa ke Hospital Besut menggunakan kenderaan polis dan akan dimandi serta dikafan di hospital berkenaan sebelum dikebumikan di Kampung Gaung.

“Kami sedang uruskan untuk kebumi jenazah mek di sebuah tanah perkuburan lama yang setakat ini belum dinaiki air dan berharap jenazah dapat disempurnakan segera,“ kata Nik Mohd Fhaiez.

Dalam pada itu, menurutnya kejadian banjir kali ini didapati lebih teruk berbanding banjir besar yang pernah melanda kawasan kampung itu pada 2014 dan kebiasaannya keluarganya tidak berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Bagaimanapun katanya dengan keadaan hujan yang masih lebat, keluarganya mungkin terpaksa berpindah ke PPS agar dapat mengelak daripada kejadian lebih buruk.

“Kami akan fikirkan nanti sama ada nak pindah atau tak. Nak selesaikan urusan pengebumian mek dulu, lepas tu tengok keadaan perlu pindah atau tak,“ katanya.-Bernama