BANK Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 4.4 peratus pada tahun ini, dengan permintaan domestik terus menjadi pemacu utama aktiviti ekonomi.
Pengarah Bahagian Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia dan Brunei, Zafer Mustafaoglu berkata, bagaimanapun, prospek jangka pendek tertakluk kepada ketidaktentuan berikutan risiko cenderung ke arah penurunan.
"Konflik geopolitik dan ketegangan perdagangan, pertumbuhan global yang lemah, turun naik pasaran kewangan dan ketidakpastian dasar dalam ekonomi utama, semuanya boleh menjejaskan perdagangan dan keyakinan,” katanya dalam ucapan pada pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia April 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, sebagai ekonomi terbuka, Malaysia terus terdedah terutamanya melalui saluran perdagangan dan kewangan.
Katanya, pertumbuhan Malaysia mengatasi jangkaan pada separuh kedua 2025 walaupun dalam persekitaran global yang amat tidak menentu.
"Ini meningkatkan pertumbuhan bagi keseluruhan tahun kepada kadar kukuh sebanyak 5.2 peratus, didorong oleh permintaan domestik dan prestasi eksport yang memberangsangkan.
"Pencapaian luar biasa ini mencerminkan kekuatan asas dan daya tahan ekonomi,” katanya.
Pada masa yang sama, Mustafaoglu menekankan bahawa Malaysia sedang berdepan cabaran walaupun guna tenaga kekal kukuh, pertumbuhan produktiviti adalah sederhana.
"Impaknya ialah guna tenaga tidak penuh, dengan ramai graduan bekerja tidak memanfaatkan sepenuhnya kemahiran mereka. Ini bukan sahaja isu pasaran tenaga kerja, malah penggunaan modal insan yang tidak optimum merupakan isu dinamisme perniagaan.
"Apabila persekitaran perniagaan terjejas akibat tahap persaingan pasaran yang tidak mencukupi, peraturan tidak kompetitif dan proses kelulusan rumit, akses pembiayaan tidak seimbang dan proses insolvensi perlahan, inovasi perniagaan menjadi terhad, sekali gus menyebabkan pertumbuhan produktiviti dan gaji lembap,” katanya.
Beliau berkata cabaran pekerjaan Malaysia pada asasnya merupakan cabaran produktiviti dan jika pertumbuhan produktiviti tidak meningkat, upah tidak dapat meningkat secara mampan.
"Menangani cabaran ini memerlukan peralihan daripada kuantiti kerja kepada kualiti kerja. Laporan itu mengetengahkan tiga keutamaan, iaitu membuka ruang kepada persekitaran perniagaan yang lebih dinamik, memacu inovasi dan menyalurkan pembiayaan kepada produktiviti serta melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang sesuai dan membangunkan modal insan yang bersedia untuk masa depan,” katanya. - Bernama




