Bank Islam perkenal Kad Debit-i Visa Be U sedia pembayaran lancar menerusi aplikasi perbankan
zulfadli
07/09/2023 - 16:27
KUALA LUMPUR 7 Sept - Bank Islam Malaysia Bhd mengorak satu lagi langkah penting dalam memajukan pendigitalan sektor kewangan dan mengukuhkan kedudukannya di arena perbankan digital dengan memperkenalkan Kad Debit-i Be U by Bank Islam Visa.
Selain menyediakan transaksi yang pantas, selamat dan tanpa sentuhan di lebih 100 juta lokasi pedagang Visa di seluruh dunia, kad debit tersebut direka untuk memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kad debit tanpa cawangan Be U menzahirkan komitmen kumpulan untuk mengubah pengalaman perbankan Islam dengan memanfaatkan teknologi termaju untuk melampaui keperluan pelanggan.
Katanya, pada masa yang sama, menyediakan ruang kepada organisasi untuk belajar dan membina keupayaan teknologi kewangan dalaman.
"Aplikasi Be U by Bank Islam berada pada kedudukan terbaik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Islam global kerana bank ini ingin memudahkan transaksi yang menyumbang kepada pembangunan sektor seperti produk halal, perbankan Islam dan pelaburan beretika.
"Kaedah pembayaran yang tersedia dalam aplikasi itu diharapkan dapat mendorong gaya hidup berdasarkan syariah iaitu berbelanja secara bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Digital Kumpulan Bank Islam, Noor Farilla Abdullah berkata, kad itu melambangkan kecekapan, pilihan dan kawalan yang memenuhi permintaan pasaran ketika ini.
Katanya, ia juga mencerminkan dedikasi Bank Islam dalam menawarkan rumusan patuh syariah terkini yang sesuai dengan gaya hidup moden.
"Pelanggan bukan sekadar mencari tawaran perbankan berasaskan transaksi. Mereka menuntut pengalaman yang menjadikan pengurusan kewangan kendiri yang mudah.
"Melalui Kad Debit-i Be U by Bank Islam, pemegang kad boleh memantau kewangan mereka melalui penjejak perbelanjaan tersedia dalam aplikasi perbankan digital Be U by Bank Islam. Ia menjadikan pelanggan lebih peka dan memahami tabiat perbelanjaan masing-masing, seterusnya membolehkan mereka merancang serta mencapai matlamat kewangan yang ditetapkan secara strategik.
"Selain itu, pemegang kad juga boleh mengurus dan menetapkan kawalan kad mereka dengan mudah melalui aplikasi tersebut. Ia termasuk membekukan dan membenarkan semula penggunaan kad, menukar PIN serta menentukan tetapan keselamatan dan had mengikut pilihan mereka," katanya.
Kad Debit-i Be U by Bank Islam Visa menawarkan lima reka bentuk menarik sebagai pilihan, sekali gus menyerlahkan keperibadian pelanggan.
Permohonan kad itu boleh dibuat dengan mudah melalui aplikasi Be U. Ia kemudiannya dihantar ke rumah pelanggan dalam hanya beberapa hari bekerja selepas permohonan diterima. - DagangNews.com



