
Penipuan kewangan dalam talian semakin berleluasa di Malaysia. Walaupun banyak tangkapan telah dibuat, kes penipuan tetap berlaku sehingga ada mangsa kehilangan simpanan seumur hidup. Namun begitu, kerjasama rapat antara pihak berkuasa dan industri perbankan telah berjaya meningkatkan usaha pencegahan serta melindungi masyarakat daripada ancaman penipuan.

Sebagai contoh, kempen #JanganKenaScam yang dilancarkan sejak 2023 oleh Persatuan Bank di Malaysia (ABM) bersama AIBIM dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjadi inisiatif kesedaran nasional untuk mendidik masyarakat tentang risiko penipuan kewangan.
Keberkesanan kempen ini terbukti apabila pada 2025, kakitangan bank berjaya menghalang lebih RM139 juta transaksi penipuan sekali gus menyelamatkan ramai pelanggan daripada kerugian besar. Di sebalik jumlah itu, terdapat simpanan persaraan, dana pendidikan anak-anak, modal perniagaan dan hasil jualan syarikat yang dikumpul bertahun-tahun oleh rakyat Malaysia.

Secara keseluruhan, industri perbankan berjaya menghalang transaksi bernilai RM1.19 bilion iaitu peningkatan tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keberkesanan usaha menghalang penipuan, malah menegaskan komitmen berterusan sektor perbankan dalam meningkatkan teknologi keselamatan serta melindungi pelanggan daripada ancaman penipuan yang semakin kompleks.

Antara inisiatif keselamatan utama yang menyumbang kepada kejayaan ini termasuk:
- Money Vault / Money Lock – Fungsi keselamatan yang membolehkan pelanggan mengunci wang mereka dalam akaun khas yang tidak boleh dipindahkan tanpa kebenaran tambahan. Sehingga kini, lebih 38,000 pelanggan telah menggunakan ciri ini dengan jumlah keselamatan melebihi RM600 juta. Ia berfungsi seperti peti besi digital yang memberi ketenangan kerana wang lebih terjamin.
- Malware Shielding – Teknologi perisai terhadap serangan siber yang telah berjaya menghalang lebih 60,000 cubaan penipuan berkaitan malware dengan nilai potensi kerugian sekitar RM22 juta. Ringkasnya, ia melindungi akaun pelanggan daripada perisian jahat yang cuba mencuri maklumat.
- Kill Switch – Hampir 300,000 pengguna telah mengaktifkan fungsi ini. Kill Switch membolehkan pelanggan membekukan akaun serta merta apabila terdapat aktiviti mencurigakan. Tindakan pantas ini telah mencegah hampir RM7 juta kerugian. Ia ibarat butang kecemasan untuk keselamatan akaun.
- Semakan Keselamatan Kendiri – Ciri dalam aplikasi perbankan yang membolehkan pelanggan memeriksa tahap keselamatan akaun mereka sendiri. Melalui fungsi ini, pengguna dapat mengenal pasti kelemahan, memantau log masuk dan mengambil langkah pembetulan segera berdasarkan amalan keselamatan terbaik.

Dalam masa yang sama, beberapa bank turut memperkenalkan fungsi kawalan akaun sendiri yang membolehkan pelanggan memantau peranti, sesi serta aktiviti log masuk. Melalui fungsi ini, pelanggan diberi kuasa untuk mengesan aktiviti mencurigakan dengan lebih cepat, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan kesedaran akaun.
Langkah ini amat penting kerana pelanggan kini boleh bertindak segera tanpa perlu menunggu pihak bank. Sebagai contoh, mereka boleh menamatkan sesi log masuk yang tidak dikenali atau menyekat akses daripada peranti yang mencurigakan. Dengan cara ini, pelanggan berperanan lebih aktif dalam melindungi akaun mereka daripada ancaman penipuan.

Penambahbaikan sistem ini turut diperkuat dengan usaha pendidikan keselamatan siber yang berterusan. Fokus utama diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana kerana mereka sering menjadi sasaran penipuan dalam talian. Melalui program kesedaran, golongan ini dibimbing untuk mengenali tanda-tanda risiko seperti phishing atau penipuan pancing data, iaitu cubaan penjenayah siber mencuri maklumat pelanggan, serta bentuk penipuan digital lain yang semakin kompleks.

Selain itu, beberapa perkembangan baharu turut memperkukuh usaha menentang penipuan. Bank mengakui terdapat peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh scammer termasuk panggilan deepfake dan manipulasi chatbot. Pada masa sama, bank juga melabur dalam AI untuk mengesan serta menghalang penipuan. Teknologi ini kini menjadi faktor penting yang digunakan oleh penjenayah untuk menipu tetapi pada masa sama dimanfaatkan oleh institusi kewangan bagi melindungi pelanggan.

Platform MyDigital ID dilihat sebagai alat utama untuk menguatkan proses Know Your Customer (KYC). Meskipun integrasi penuh dengan sistem bank masih dalam peringkat pelaksanaan dan belum ada garis masa khusus, usaha ini sudah bermula dan dijangka menjadi tonggak penting dalam pengesahan identiti pelanggan pada masa hadapan.
Seramai 68 kakitangan daripada 14 bank turut diiktiraf atas usaha mereka mencegah penipuan dengan had maksimum lapan orang setiap bank untuk acara rasmi. Pengiktirafan ini bukan sahaja memberi motivasi kepada kakitangan, malah menekankan peranan penting mereka sebagai barisan hadapan dalam melindungi pelanggan daripada penipuan.

Isu pampasan pelanggan turut diberi perhatian, di mana bank bersetuju untuk memberi pampasan dalam kes tertentu apabila terdapat kelemahan dalaman atau kecuaian. Namun, tanggungjawab utama tetap pada pengguna untuk sentiasa berhati-hati. Pendekatan ini dilaksanakan mengikut kes bergantung situasi bagi memastikan keseimbangan antara tanggungjawab institusi dan kewaspadaan pelanggan. Langkah ini menunjukkan bahawa bank bukan sahaja menekankan aspek teknologi keselamatan, tetapi juga prihatin terhadap perlindungan hak pelanggan.

Turut dikongsikan bahawa semua kakitangan bank diwajibkan mengikuti latihan tahunan berkaitan pencegahan penipuan. Kandungan latihan kini merangkumi penggunaan AI dalam penipuan dan cara mengatasinya. Dengan adanya modul baharu ini, kakitangan lebih bersedia menghadapi ancaman moden yang semakin kompleks termasuk panggilan suara palsu yang dibuat oleh AI dan manipulasi chatbot. Latihan berterusan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan kakitangan malah meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap sistem perbankan.
