Bank Muamalat, Petronas Dagangan rangkul anugerah inovasi Red Hat APAC 2023
diyana
06/09/2023 - 17:08
KUALA LUMPUR 6 Sept - Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Petronas Dagangan Bhd diiktiraf di atas pencapaian mereka dalam memanfaatkan rumusan Red Hat Inc bagi memupuk inovasi, mempamerkan kepintaran mereka dan meningkatkan pengalaman pelanggan dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berkembang.
Red Hat dalam satu kenyataan media hari ini mengumumkan bahawa kedua-dua syarikat terbabit sebagai pemenang Anugerah Inovasi Red Hat APAC 2023 untuk Malaysia, merangkul dua daripada lima kategori.
Lima kategori anugerah itu memberi tumpuan kepada teknologi utama yang boleh membantu perniagaan menonjol di tengah-tengah landskap yang tidak menentu hari ini, iaitu Transformasi Digital, Infrastruktur Awan Hibrid, Pembangunan Asli Awan, Automasi dan Ketahanan.
Petronas Dagangan meraih anugerah inovasi bagi kategori Automasi dan Ketahanan dengan menggunakan Red Hat Ansible Automation, yang meningkatkan kecekapan, kebolehskalaan dan keselamatan untuk stesen minyak syarikat berkenaan.
Ketua Pegawai Teknologi Petronas, Koh Tat Chong menekankan bahawa kumpulan itu komited untuk memudahkan kehidupan seharian pelanggan dengan menyampaikan produk dan perkhidmatan yang berkualiti.

“Sebahagian daripada janji ini diwujudkan melalui usaha berterusan kami terhadap teknologi termaju, salah satunya adalah langkah kami ke platform sumber terbuka moden. Penghijrahan ini bukan sahaja membolehkan kecekapan kos tetapi juga meningkatkan keselamatan dan pematuhan, sambil melindungi data pelanggan.
“Dengan penyepaduan Ansible, infrastruktur keseluruhan kami menjadi lebih berdaya tahan, dan tugasan berulang telah menjadi automatik, mengurangkan beban pasukan teknologi maklumat (IT) kami untuk menumpukan pada kerja yang lebih strategik,” ujar beliau.
Sementara itu, Bank Muamalat diiktiraf bagi kategori Transformasi Digital dan Pembangunan Asli Awan setelah memanfaatkan rumusan penyepaduan Red Hat bagi projek Gerbang API Terbuka bank itu untuk membina infrastruktur tangkas, berkesan, bertumpukan keselamatan yang menyesuaikan diri dengan perubahan perniagaan dan industri.
Ketua Pegawai Teknologi Bank Muamalat, Megat Mohammad Faisal Khir Johari berkata teknologi sumber terbuka Red Hat membolehkannya mencipta saluran hasil baharu dan meluaskan capaian bank.

“Ini telah menggalakkan kerjasama dan kepelbagaian dalam pembangunan perisian kami, membuka pintu baharu kepada rumusan inovatif yang memanfaatkan organisasi dalaman dan pelanggan kami. Secara keseluruhan, sumber terbuka telah menyokong misi kami untuk memacu inovasi, bergerak pantas dan menggembirakan pelanggan,” tambahnya.
Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar APJC Red Hat, Marjet Andriesse berkata Malaysia telah menyatakan dengan jelas cita-citanya untuk menjadi Harimau Digital Asia pada tahun-tahun mendatang menerusi penggunaan teknologi digital lebih pintar, yang membolehkan orang ramai berhubung dan mempercepatkan inovasi perniagaan.
“Pemenang tahun ini, Petronas dan Bank Muamalat, adalah contoh hebat bagi organisasi yang menangani pengetatan sumber dan tenaga kerja dengan teknologi sumber terbuka. Dengan berbuat demikian, mereka menunjukkan fleksibiliti dan daya tahan untuk menerima pakai teknologi, kedua-dua yang sedia ada dan baharu muncul, bagi mencipta laluan unik mereka sendiri menuju kejayaan,” katanya. - DagangNews.com


