Bank Rakyat Tawar Moratorium Sehingga Enam Bulan Kepada Mangsa Banjir Di Sabah

4 Jul 2024 • 10:13 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Bank Rakyat tawar bantuan khas moratorium kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah yang membabitkan empat daerah termasuk Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.

Ketua Pegawai Ekskutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata bantuan khas itu merangkumi kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

Bank Rakyat tawar moratorium kepada mangsa banjir di Sabah

image is not available

Menurutnya, sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang prihatin, Bank Rakyat mahu mengurangkan bebanan dan kesuliatan yang dihadapi pelanggannya.

Dalam pada itu, pihaknya berharap agar kemudahan moratorium itu dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas dengan bencana itu.

“Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat ini yang mana amat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.

“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.

image is not available

“Ini termasuk bagi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelanggan terjejas boleh membuat permohonan moratorium menerusi e-mel bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyatakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

image is not available

Bagi pelanggan perniagaan pula boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Bank Rakyat di http://www.bankrakyat.com.my/, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800 dan kunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta ikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa.