
KUALA LUMPUR - Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) menggerakkan kempen bagi membantah kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu bermula semalam.
Jurucakap MPP UiTM berkata, serentak dengan itu, semua penuntut diseru mengenakan pakaian berwarna hitam sebagai tanda bantahan.
Menurut beliau, MPP akan membantah apa sahaja keputusan biarpun cadangan itu hanya melibatkan program pascasiswazah.
“Dalam usaha menegaskan pendirian tersebut, MPP UiTM telah bersepakat untuk melancarkan kempen #MahasiswaUiTMBantah bermula 14 Mei hingga 16 Mei dengan tujuan memberi pendedahan serta pengetahuan kepada seluruh mahasiswa mengenai hak asasi keadilan Bumiputera.
“Oleh itu, kami ingin bekerjasama dengan seluruh mahasiswa untuk menggunakan #MahasiswaUiTMBantah pada setiap hantaran di platform media sosial bagi menunjukkan sinergi seluruh mahasiswa berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Perkara 153),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Ahli Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Profesor Dr Raja Amin Raja Mokhtar mencadangkan membuka program itu kepada bukan Bumiputera bagi tempoh sementara.
Beliau berkata cadangan itu bagi menangani masalah kekurangan pakar dalam bidang kardiovaskular.
Dr Raja Amin berkata, berkata tiada pindaan undang-undang diperlukan untuk menerima pelajar bukan Bumiputera bagi tujuan tersebut. - Getaran, 15 Mei 2024

