
Pengalaman 3 hari 2 malam yang aneh
Bantal Beralih, Wanita Kongsi Pengalaman Misteri Menginap Di Hotel Kuching. Apakah yang akan anda lakukan sekiranya terdapat perkara ‘luar biasa’ yang berlaku di hotel tempat anda menginap? Adakah anda akan bersangka baik, atau melangkah 1,000 kaki terus?
Tular sebuah perkongsian di TikTok, seorang wanita yang bernama Umie Daud (@umie.daud) berkenaan menginap di sebuah hotel yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Kuching selama 3 hari untuk menghadiri kursus. Menurutnya, dia akan mengemas bilik berkenaan setiap kali sebelum turun menghadiri kursus.

Bantal akan disandarkan pada kepala katil manakala selimut akan dilipat dengan kemas.
Bilik seperti dimasuki orang selepas kembali di sebelah petang
Namun, sekembalinya wanita berkenaan ke biliknya pada sebelah petang, dia mendapati bahawa biliknya dalam keadaan seperti dimasuki seseorang. Ujarnya lagi, bantal yang pada awalnya disandarkan pada kepala katil berada di atas katil, seolah-olah seperti ada yang sudah berbaring di atasnya.
Tidak cukup dengan itu, menjengah ke ruangan tandas, wanita tersebut mendapati bahawa terdapat najis yang tidak dipam sedangkan bilik berkenaan ditinggalkan dalam keadaan bersih.
Pada awalnya, wanita berkenaan mengesyaki bahawa berkemungkinan perbuatan tersebut dilakukan oleh staf housekeeping yang mungkin terlalu penat bekerja dan menumpang berehat di bilik berkenaan. Wanita berkenaan tidak kisah tetapi sedikit kurang senang tentang najis yang ditinggalkan begitu sahaja.
Tapi, betul ke manusia?
Pada hari terakhir, semasa menumpang sebuah kenderaan e-hailing ke lapangan terbang untuk pulang, beliau dinasihati oleh pemandu berkenaan untuk elakkan menginap di hotel berkenaan kerana hotel berkenaan dikatakan ‘berhantu’. Alangkah terkejutnya wanita berkenaan apabila mengetahui tentang hal tersebut, lalu menceritakan kejadian yang berlaku sepanjang berada di hotel berkenaan.
Pemandu tersebut terkejut namun hanya mampu ketawa. Kerana rasa curiga Umie memuncak, dia terus bertanya tingkat mana yang dikatakan ‘bermasalah’ – dan ternyata pemandu berkenaan memberitahu bahawa kejadian aneh sering berlaku di tingkat 8 hotel berkenaan.
Kebetulan sama pula dengan tingkat yang didiami olehnya! Aiyoo.
Sehingga ke hari ini, Umie masih tertanya-tanya sama ada kejadian tersebut benar-benar peristiwa aneh dan misteri atau sebenarnya kerana tingkah pekerja di hotel berkenaan. Namun, wanita ini sudah pun berikrar untuk tidak lagi menginap di hotel berkenaan untuk kunjungan yang akan datang.
‘Seminggu duduk hotel ni, ada anak kecil, alhamdulillah okay’ – Netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan maklum balas yang bercampur. Ada yang sudah pernah menginap di sana namun tidak pernah mengalami apa-apa peristiwa aneh. Namun, ada juga netizen yang mengetahui keadaan asal bangunan tersebut sebelum bertukar menjadi hotel, menyatakan bahawa mereka tidak berani untuk menginap di sana.






Apa pendapat anda tentang kisah ini? Adakah anda pernah mengalami hal yang sama semasa menginap di hotel ini? Bagi mereka yang belum pernah menginap di sini, mungkin anda perlu cuba sekali untuk mengetahui kebenarannya. Kalau dah cuba, kongsikan di ruangan komen pula
Baca juga kisah seram penyanyi, Ernie Zakri semasa menginap di sebuah hotel di Kuching

