
KUALA LUMPUR - Tindakan pantas pihak berkuasa menahan individu yang menyebarkan berita palsu berhubung kematian Zara Qairina Mahathir membuktikan komitmen kerajaan dalam memelihara keharmonian masyarakat.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Aidi Amin Yazid berkata, jika berita palsu tidak ditangani segera akan ada pihak terus menjadikannya sebagai isu untuk menimbulkan keresahan rakyat.
Menurut beliau lagi, langkah penguatkuasaan undang-undang yang diambil kerajaan bukan sekadar memberi pengajaran kepada pelaku, malah menjadi peringatan kepada orang ramai agar tidak terjebak dalam penyebaran berita palsu.
“Kita tidak mahu negara ini menjadi mangsa kepada politik kebencian atau budaya sensasi murahan. Rakyat berhak mendapat maklumat yang benar, tepat dan sahih,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penahanan beberapa individu termasuk seorang guru seperti yang didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau memuji kerjasama pihak polis serta agensi berkaitan termasuk Kementerian Komunikasi yang bertindak segera bagi meredakan keadaan dan mengelakkan sebarang ketegangan dalam masyarakat.
“PKR berdiri teguh bersama kerajaan dalam usaha membanteras berita palsu. Ini adalah langkah penting demi menjaga keharmonian, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati keluarga yang terlibat, serta tidak mengambil kesempatan menjadikan isu berkenaan sebagai modal politik atau bahan sensasi di media sosial.
“Ini juga membuktikan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba merosakkan keamanan dengan menyebarkan berita palsu,” katanya.
Jelasnya lagi, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan tidak boleh disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah, apatah lagi yang menyentuh soal maruah serta kehormatan individu dan keluarga.
“Setiap warganegara berhak menyuarakan pandangan, namun ia mesti bersandarkan fakta, bukannya khabar angin yang boleh menimbulkan kekeliruan. Penyalahgunaan ruang media sosial perlu ditangani tanpa ada kompromi,” jelasnya.
“Pengguna media sosial, agar lebih berhemah dalam berkongsi maklumat dengan memastikan kesahihan sumber sebelum menyebarkannya kepada umum," katanya.
Lagi artikel berkaitan:
