
SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Papat Alex Thien Ching Qiang mahu pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap pelajar memiliki produk vape disyaki mengandungi dadah atau bahan psikoaktif yang sering dirujuk sebagai “Piu-Piu” atau “Mushroom Vape”.
Alex berkata satu laporan rasmi telah dibuat kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan susulan penularan sebuah video yang menjadi tular.
Beliau secara persendirian turut mengumpulkan maklumat daripada pengusaha bas termasuk waktu pelajar biasanya berkumpul.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, ‘Piu-Piu’ atau ‘Mushroom Vape’ dipercayai sudah mula beredar dalam kalangan sebahagian pelajar di sini. Jika benar, perkara ini menimbulkan ancaman serius terhadap kesihatan golongan muda serta keselamatan persekitaran sekolah,” katanya.
Beliau menggesa pihak berkuasa mengesan sumber produk terbabit, pembekal, ejen serta rangkaian pengedarannya selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menjual atau membekalkan produk vape yang disyaki mengandungi dadah atau bahan psikoaktif kepada golongan bawah umur.
Menurutnya Terminal Bas Batu Sapi sudah lama menjadi lokasi tumpuan pelajar khususnya selepas waktu persekolahan pada hari Jumaat.
Beliau mencadangkan polis, Majlis Perbandaran dan pengusaha bas meningkatkan rondaan, memperkemas pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) serta memperketat kawalan keselamatan di terminal berkenaan dan kawasan sekitarnya.

