
KUALA LUMPUR – Niat murni seorang penunggang motosikal membantu sebuah ambulans yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas bertukar menjadi detik bermakna apabila dia secara tidak langsung membantu menyelesaikan punca sebenar kesesakan di lebuh raya berkenaan.
Menerusi satu hantaran di platform TikTok oleh pengguna dikenali sebagai Roy2pai, lelaki itu pada awalnya bertindak mengiringi ambulans yang berdepan kesesakan teruk.
Namun, situasi tersebut berubah apabila dia terserempak dengan sebuah kereta yang tersadai di lorong kiri lebuh raya, dipercayai menjadi punca utama kesesakan trafik.
“Niat nak tolong ambulans, tapi jumpa punca kesesakan pula,” katanya di ruangan kapsyen video tersebut.
Tanpa berlengah, lelaki berkenaan memberhentikan motosikalnya sebelum turun membantu menolak kenderaan terbabit ke bahu jalan.
Tindakan spontan itu turut menarik perhatian seorang lagi penunggang motosikal yang segera berhenti dan bersama-sama menghulurkan bantuan.
Hasil kerjasama kedua-dua individu itu, kenderaan tersebut berjaya dialihkan sekali gus membantu melancarkan semula aliran trafik di kawasan berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap prihatin dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh lelaki terbabit.
Seorang pengguna, Miker Zacker berkata, tindakan tersebut wajar dipuji dan mendoakan agar lelaki itu sentiasa dipermudahkan urusan.
“Terima kasih orang baik, semoga Allah limpah-ruahkan rezeki yang mewah berpanjangan,” kata seorang lagi pengguna.
Seorang netizen turut menyifatkan tindakan itu sebagai contoh sikap rakyat Malaysia yang sentiasa bersedia membantu tanpa mengira keadaan.
