Bantu Golongan B40, Andalusia Lanjutkan Pakej Umrah Rahmah Sehingga Syawal

14 Sep 2023 • 12:08 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Tawaran pakej umrah Rahmah oleh Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) diteruskan bagi bulan September dan Oktober 2023 pada harga serendah RM5590.

Menurut Harian Metro, pakej bermula pada Ogos 2023 lalu dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia.

image is not available

Oleh kerana itu, sempena Ekspo Pelancongan Islamic Asia (Aitex) 2023, Andalusia akan meneruskan pakej ini untuk golongan B40 dan golongan kurang berkemampuan untuk menunaikan umrah.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata mereka memperkenalkan pakej ini untuk memenuhi sebahagian tanggungjawab korporat sosial (CSR).

image is not available

Disebabkan harga tiket dan kos untuk mengerjakan umrah meningkat mendadak selepas pandemik, Andalusia mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan pakej umrah Rahmah untuk rakyat Malaysia.

“Kami akan meneruskan pakej ini sehingga Syawal akan datang terutama kepada mereka yang pertama kali hendak menunaikan umrah.

image is not available

“Pakej ini juga ditawarkan pada harga RM5590 (menggunakan penerbangan transit Air Arabia atau Oman Air) dan RM5990 (penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines) dengan antara RM1300 ke RM1400 lebih murah berbanding harga pakej asal.

“Perbezaan pakej umrah Rahmah ini adalah dari segi jarak hotel. Jika di Madinah dekat, tetapi di Makkah jarak perbezaan tambahan dengan pakej biasa lebih kurang 350 meter dari hotel,” katanya.

Ida Riswana juga berkata, tiada perbezaan dari segi layanan, makanan, bimbingan, dan penginapan berbanding dengan pakej biasa walaupun ditawarkan pada harga tersebut.

Dari segi kuota pula, tiada had jumlah yang telah ditetapkan dan pendaftaran akan dibuka selagi tiket penerbangan masih ada.

image is not available

Hadir bersama, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah yang berkata selain pelancaran pakej Rahmah, Andalusia turut mempromosikan pakej umrah lain serta pelancongan Muslim dengan diskaun RM200 ke RM500.

Sumber: Harian Metro (Seri Ayu Kartika Amri)