
KUALA LUMPUR – Tiga gadis yang terkebil-kebil cuba menukar tayar kereta pancit akhirnya menarik nafas lega apabila seorang lelaki tampil membantu mereka selepas dipujuk isterinya sendiri dalam satu situasi yang mencuit hati ramai netizen.
Seorang pengguna media sosial berkongsi momen mencuit hati apabila suaminya tampil membantu tiga gadis yang berdepan masalah tayar kereta pancit di kawasan parkir selepas pulang dari aktiviti berkonvoi motosikal.
Menerusi perkongsian di Threads, pemilik akaun @sehamawi berkata dia dan suaminya pada awalnya terlihat tiga gadis tersebut dalam keadaan kebingungan cuba membuka tayar kereta yang rosak.
Menurutnya, suaminya pada mulanya seolah-olah mahu mengabaikan situasi itu sebelum dia meminta lelaki berkenaan membantu mereka.
“Balik dari ride masuk parking nampak tiga gadis ni terkebil-kebil nak jack kereta tayar pecah.
“Kita ni kesian, laki aku nak buat bodoh je agaknya nampak sorang tu seksi sangat segan dia. Tapi aku suruh juga husband jadi hero gadis tiga orang ni,” tulisnya berseloroh.
Tambahnya lagi, salah seorang gadis berbangsa Cina itu mengakui sudah lama mencuba membuka tayar berkenaan namun gagal sebelum melafazkan “Alhamdulillah” sebaik sahaja tayar berjaya ditanggalkan.
Perkongsian tersebut nyata mencuit hati ramai netizen yang bukan sahaja terhibur dengan gelagat pasangan suami isteri itu, malah memuji sikap prihatin mereka yang sanggup membantu tanpa mengira bangsa dan agama.
Ada dalam kalangan netizen menyifatkan tindakan wanita tersebut sebagai contoh terbaik semangat sesama wanita yang saling membantu ketika diperlukan, selain menyifatkan pasangan itu mempunyai hati yang baik.
Dalam masa sama, ramai turut bersetuju bahawa sikap tolong-menolong seharusnya diamalkan oleh semua masyarakat walaupun berbeza kaum dan agama kerana nilai kemanusiaan lebih utama dalam situasi seperti itu.
Netizen Terhibur Isu ‘Alhamdulillah’
Isu gadis berbangsa Cina yang menyebut perkataan “Alhamdulillah” turut menjadi perhatian netizen apabila ada yang berseloroh mendakwa wanita tersebut mungkin berasal dari Kelantan kerana kebiasaan masyarakat Cina di negeri itu menggunakan ungkapan sedemikian dalam perbualan harian.
Namun, beberapa pengguna media sosial menjelaskan bahawa penggunaan perkataan seperti “Allah” atau “Alhamdulillah” bukan sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat bukan Islam di negara ini dan ia tidak semestinya membawa maksud seseorang itu memeluk agama Islam.
Rata-rata netizen turut mendoakan agar pasangan berkenaan terus dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan kerana menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. – The Malaysian Update
The post Bantu Tiga Gadis Tayar Pancit, Sikap Prihatin Pasangan Suami Isteri Raih Pujian Ramai appeared first on The Malaysian Update.
