Bantuan AnIS tampung kos rawatan, ringan beban ibu bapa anak istimewa

26 Jul 2022 • 10:18 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PETALING JAYA, 26 JULAI: Ibu bapa memiliki anak istimewa bersyukur menerima bantuan daripada Kerajaan Selangor yang sedikit sebanyak meringankan beban.

Seorang ibu Nurasyikin Basir, 50, berkata bantuan Anak Istimewa Selangor (AnIS) itu dapat menampung kos rawatan anak kelimanya Aulia Izzantunn Nisa’ Ramli, 4, yang menghidap Cerebral Palsy (kecacatan otak).

“Alhamdulillah bersyukur sangat permohonan pertama kali diluluskan dengan begitu mudah. Bantuan ini dapat saya gunakan untuk menampung kos rawatan anak yang menelan belanja lebih RM700 sebulan.

“Jumlah itu agak membebankan buat kami yang kurang berkemampuan, suami sudah pencen dan saya pula suri rumah. Saya berharap bantuan diteruskan lagi pada masa depan,” katanya kepada SelangorKini.

Nurasyikin antara wakil penerima bantuan AnIS yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Ahad lalu.

Manakala, Wong Mee Yen, 42, ibu kepada Wong Ian, 2, yang turut menghidap penyakit kecacatan otak mencadangkan pihak AnIS menambah baik fungsinya dengan menjalankan sesi fisioterapi khusus kepada anak-anak istimewa pada masa akan datang.

“Kami bersyukur dengan bantuan tunai ini ia boleh membantu menampung kos rawatan anak kami yang sudah menghidap penyakit sejak lahir.

“Namun, saya turut mencadangkan AnIS dapat menubuhkan pusat terapi sendiri yang berfungsi lengkap seperti fisioterapi terapi cara kerja dan terapi pertuturan.

“Apabila adanya pusat seumpama ini ibu bapa mempunyai anak istimewa tidak perlu lagi mendapatkan rawatan di premis luar kerana ia menelan belanja agak mahal,” katanya.