Bantuan disalur tingkat usaha Carilamat nelayan hilang

15 Apr 2026 • 9:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bantuan disalur tingkat usaha Carilamat nelayan hilang
Mohd Zolkafly menenangkan ahli keluarga mangsa yang masih hilang di perairan Pulau Pasir Hitam, Pantai Remis dekat sini dalam kunjungannya pada Rabu.

MANJUNG – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan bantuan sebanyak RM5,000 bagi membantu mempergiatkan lagi operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) nelayan yang masih hilang selepas terjatuh ke laut di perairan Pulau Pasir Hitam, Pantai Remis dekat sini Ahad lalu.

Bantuan itu disampaikan sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga mangsa oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang mengadakan lawatan ke rumah keluarga nelayan terbabit pada Rabu.

Mangsa yang masih belum ditemui dikenali sebagai Sim Yau Kok, 38, pemilik bot PKS 6353 yang beralamat di Pantai Remis.

Menurut Mohd Zolkafly, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban keluarga selain menyokong usaha berterusan pasukan penyelamat dalam mengesan mangsa.

“Kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan operasi Carilamat dan komited memastikan kebajikan keluarga mangsa sentiasa diberi perhatian,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Dalam kejadian pada 12 April lalu, tiga nelayan dilaporkan terjatuh ke laut ketika berada di perairan Pulau Pasir Hitam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Hairil Othman menerusi satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, operasi Carilamat diaktifkan sebaik maklumat kejadian diterima oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi.

Katanya, sepasukan anggota dari Bot Perkasa 1238 digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pencarian.

“Seorang mangsa, Ko Ko Aung, 35, warga Myanmar berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan pada hari kejadian.

“Seorang lagi mangsa, Khin Maung Tun, 38, turut ditemui dalam operasi yang dijalankan semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa terakhir yang masih hilang dilaporkan memakai t-shirt berwarna kelabu dan berseluar biru ketika kejadian.

Menurutnya, operasi Carilamat masih diteruskan dengan penglibatan pelbagai aset serta pemantauan berterusan di kawasan pencarian.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 011-35259910 atau talian kecemasan 999 bagi membantu usaha mengesan mangsa.

 

View Original Article