
PETALING JAYA: Penyaluran bantuan kemanusiaan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Cinta Gaza Malaysia (CGM) ke Semenanjung Gaza kini terus berjalan seperti biasa tanpa bergantung sepenuhnya kepada laluan pintu sempadan.
Pengarah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) CGM, Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, langkah itu diambil memandangkan kesemua barangan bantuan yang disalurkan perolehan tempatan dari dalam wilayah berkenaan.
Katanya, bekalan perubatan dan air bersih menjadi item paling mendesak yang diperlukan oleh rakyat Palestin.
“Bantuan masih disampaikan seperti biasa tetapi bukan melalui pintu sempadan kerana semua barang CGM kita perolehi terus dari dalam Gaza,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhd. Haikal berkata, pergerakan misi kemanusiaan di dalam wilayah berkenaan berdepan kekangan hebat susulan pencerobohan dan kawalan rejim Israel.
Menurutnya, halangan utama yang dihadapi oleh NGO ketika ini adalah kemunculan kawasan sempadan yang ditetapkan secara unilateral oleh pihak tentera penceroboh.
“Kami berhadapan cabaran dengan garisan kuning (yellow line) yang dibuat oleh Zionis yang kononnya menandakan sempadan mereka.
“Kewujudan garisan ini menyebabkan pergerakan pengagihan bantuan kami menjadi agak terhad di dalam Gaza,” katanya.
Bagi memastikan pengagihan bantuan dilakukan secara saksama, selamat dan menyeluruh, pihak CGM turut melaksanakan strategi pemetaan lokasi di zon terjejas.
Jelas beliau, pemetaan khusus itu dibagikan bersama rangkaian NGO tempatan serta badan antarabangsa lain bagi mengelakkan pertindihan atau lambakan bantuan di sesebuah kawasan sahaja.
“Kita membuat pemetaan bagi beberapa kawasan yang kritikal di Gaza. Kemudian, pemetaan ini dikongsikan dengan rakan NGO tempatan dan antarabangsa untuk memastikan tiada lambakan bantuan kepada satu-satu tempat sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, projek yang sedang dilaksanakan adalah berdasarkan keadaan semasa di Gaza sekarang dan mengikut beberapa sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan.
“Antara projek yang sedang diusahakan adalah bantuan pendidikan pelajar Sekolah Malaysia, tajaan anak yatim, pemberian biasiswa untuk pelajar universiti, bantuan operasi Sekolah Jusoor Al Amal (sekolah untuk pelajar kurang upaya) dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN
The post Bantuan ke Gaza tidak melalui pintu sempadan appeared first on Utusan Malaysia.




