
PUTATAN: Kerajaan negeri akan membina semula rumah yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Petagas dan Bukit Vor, menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di tapak asal kediaman masing-masing.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan bantuan berjumlah antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi rumah yang mengalami kerosakan separa akibat kebakaran.
“Kerajaan negeri amat prihatin dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara terutama ketika berdepan musibah,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sri Putatan, Rabu.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Dalam pada itu, katanya, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat akan menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI), Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) yang masing-masing menyalurkan RM1,000 dan bakul makanan, serta RM300 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.
Kebakaran di Kampung Petagas pada Isnin lepas yang berlaku kira-kira pukul 4 petang membabitkan 20 KIR melibatkan 46 mangsa, manakala kejadian di Bukit Vor pada Selasa mengakibatkan lapan KIR kehilangan tempat tinggal melibatkan 28 mangsa.
Sementara itu, sebanyak 10 rumah di bawah Program Rumah Mesra SMJ telah diluluskan untuk mangsa kebakaran tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Awang Sahari, berkata kelulusan tersebut diberikan susulan arahan daripada Hajiji kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.
Sembilan daripada rumah berkenaan akan diberikan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran, manakala satu unit lagi diperuntukkan kepada seorang mangsa kebakaran di lokasi lain dalam kawasan Petagas.
“Seramai 19 mangsa terlibat. Surat tawaran akan diserahkan kepada penerima dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus membantu mangsa-mangsa bencana membina semula kehidupan mereka secepat mungkin.
Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shahminan Sahari dan Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh.



