Bantuan RM1000 Kepada Mangsa Banjir Sarawak Akan Disalurkan Dalam Masa Terdekat

13 Feb 2025 • 6:43 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Demikian kata Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas

Bantuan RM1000 Kepada Mangsa Banjir Sarawak Akan Disalurkan Dalam Masa Terdekat. Bantuan sekali bayar sebanyak RM1,000 untuk setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir di Sarawak akan disalurkan dalam masa terdekat, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) itu berkata, peruntukan bagi bantuan tersebut sudah tersedia dan kini hanya menunggu pengesahan senarai penerima.

image is not available
Bantuan RM1000 Kepada Mangsa Banjir Sarawak Akan Disalurkan Dalam Masa Terdekat. Kredit foto: BERNAMA

Bakal disalurkan melalui SDMC Peringkat Bahagian dan Daerah

“Kita telah bersetuju untuk menyalurkan RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir, dan bantuan ini akan disalurkan melalui SDMC di peringkat bahagian dan daerah.

“Terdapat 4,966 isi rumah yang terkesan, dengan jumlah mangsa seramai 16,700 orang yang ditempatkan di 86 pusat pemindahan sementara, termasuk mangsa tanah runtuh dan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima cek sumbangan sebanyak RM300,000 daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada kerajaan Sarawak dalam satu majlis di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Persekutuan, Dato Sri Nancy Shukri, yang juga merupakan Pengerusi YKN, menyerahkan cek berkenaan kepada Uggah.

Uggah turut mengucapkan penghargaan kepada YKN atas sumbangan tersebut dan memaklumkan bahawa Sarawak juga telah menerima bantuan bernilai RM12.8 juta daripada kerajaan persekutuan bagi membantu mangsa banjir.

Selain itu, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM10 juta bagi tujuan yang sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sarawak turut menerima sumbangan daripada Petros, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia dan MBSB Bank

Beliau berkata, Sarawak turut menerima sumbangan daripada Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebanyak RM2 juta, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (RM50,000) dan MBSB Bank Berhad (RM100,000).

“Kita amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada SDMC, membolehkan kita membantu mangsa banjir, membaiki infrastruktur yang rosak, dan pelbagai lagi,” katanya.

Uggah menambah bahawa SDMC kini sedang menilai kerosakan infrastruktur termasuk klinik, sekolah, hospital, dan jalan raya.

Laporan penilaian tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri minggu depan sebelum dikemukakan kepada Pejabat Perdana Menteri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Nancy memaklumkan bahawa YKN akan ke Sabah minggu depan bagi menyalurkan bantuan serupa kepada mangsa banjir di negeri itu.

“Kami amat bersimpati dengan apa yang sedang dihadapi oleh Sarawak, dan sebab itulah YKN percaya bahawa ini adalah cara terbaik untuk membantu,” ujarnya.

Sementara itu, peruntukan besar diperlukan untuk membaik pulih infrastruktur Sarawak yang terjejas akibat banjir tempoh hari