
KUALA LUMPUR -,Skop Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mungkin diperluas bagi membolehkan penerima membeli makanan yang lebih berkhasiat, termasuk buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber protein segar.
Langkah itu sedang dipertimbangkan kerajaan sebagai sebahagian daripada strategi lebih menyeluruh untuk membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan berkenaan telah dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) ke-18.
Beliau yang mempengerusikan jawatankuasa berkenaan berkata, cadangan itu akan dikemukakan untuk pertimbangan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Langkah ini penting supaya bantuan kerajaan bukan sahaja dapat meningkatkan kuasa beli rakyat, malah turut membuka ruang kepada mereka untuk mendapatkan makanan yang lebih berkhasiat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Zahid berkata mesyuarat itu turut membuat penelitian menyeluruh terhadap hala tuju dasar Beras Putih Tempatan (BPT), dengan mengambil kira kepentingan pengguna serta kelangsungan industri padi dan beras tempatan.
Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah mekanisme peralihan menerusi program beras bersubsidi bagi memastikan golongan rentan terus mendapat perlindungan sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara.
Menurut Zahid, kerajaan turut memberi perhatian terhadap tekanan harga dan bekalan makanan, peningkatan kos penjagaan kesihatan, tekanan kos yang dihadapi sektor perniagaan dan agromakanan, selain aspek perlindungan sosial dalam usaha menangani peningkatan kos sara hidup.
“Perkembangan geopolitik, termasuk ketidaktentuan di Asia Barat, kos pematuhan import serta kesan rasionalisasi subsidi bersasar terhadap kos pengeluaran makanan perlu terus dipantau supaya kesannya tidak diterjemahkan kepada kenaikan harga yang akhirnya membebankan pengguna.
“Agensi berkaitan telah diarahkan supaya terus menambah baik mekanisme sedia ada, termasuk bantuan bersasar kepada petani, nelayan dan kumpulan yang terjejas,” katanya.
Dalam sektor kesihatan pula, Zahid berkata mesyuarat berkenaan turut menerima taklimat mengenai kemajuan 11 inisiatif RESET yang dirangka bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta, memperluas akses serta memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat.
Kesemua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan menerusi Pelan Tindakan Sara Hidup 2030 bagi menangani tekanan kos dalam pelbagai sektor.
Kerajaan katanya, turut kekal komited memastikan kos pendidikan tidak menjadi penghalang kepada pembangunan modal insan negara.
Berdasarkan pemetaan terhadap 13 program bantuan pendidikan tinggi, seramai 62,937 pelajar Tingkatan Enam dan institusi pengajian tinggi menerima bantuan pada 2025, dengan keseluruhan program berkenaan menyalurkan bantuan berjumlah RM589.6 juta. - Getaran, 13 Ogos 2026





