Bantuan Sara RM100: Salur Mulai 9 Februari, Semua Rakyat Dewasa Layak - PM

LocalPolitics
5 Jan 2026 • 3:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Semua rakyat tempatan berusia 18 tahun ke atas sekali lagi berpeluang menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan mulai 9 Februari nanti. 

Menurut beliau, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan rakyat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

“Bantuan ini juga sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu rakyat beragama Islam membuat persiapan menghadapi bulan Ramadan yang akan datang,” katanya. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pembayaran SARA tahun ini akan memanfaatkan kira-kira 22 juta rakyat Malaysia.

“SARA pada tahun ini diberikan kepada semua rakyat, iaitu 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Pembayaran akan dikreditkan pada 9 Februari,” katanya ketika berucap pada Perutusan Tahun Baharu sempena perhimpunan bulanan khas di Putrajaya, hari ini.

Menerusi ucapan sama, Perdana Menteri turut mengumumkan butiran berkaitan pelaksanaan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026.

Beliau memberitahu, penerima STR bulanan akan menerima bayaran RM200 ke dalam akaun masing-masing yang dipautkan dengan kad pengenalan bermula 9 Januari.

Selain itu, fasa pertama pembayaran STR berjumlah RM500 akan mula disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak bermula 20 Januari.

Anwar berkata, semua langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menyediakan bantuan kewangan secara bersasar kepada rakyat, di samping membantu persiapan menyambut perayaan dan ibadah keagamaan.

“Bayaran ini bertujuan membantu rakyat membuat persiapan menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan,” katanya, sambil menegaskan komitmen kerajaan terhadap kebajikan semua rakyat yang layak. - Getaran, 5 Januari 2026