
Bantuan Tunai Subsidi Diesel Sektor Pertanian Di Bawah Inisiatif Budi Agri-Komoditi
PUTRAJAYA, 27 MEI 2024 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendukung inisiatif pemberian bantuan tunai berupa subsidi diesel kepada petani, peternak, dan pengusaha akuakultur melalui Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) dalam kategori BUDI Agri-Komoditi.
Hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pelaksanaan BUDI MADANI, susulan kenyataan Perutusan Negara oleh YAB Perdana Menteri pada minggu lalu mengenai keputusan Jemaah Menteri untuk melakukan penyasaran subsidi bahan bakar diesel di Semenanjung Malaysia.
Sehubungan itu, bagi membantu menstabilkan kos operasi sektor pertanian, Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 di bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
(i)Warganegara Malaysia / Pertubuhan berdaftar di Malaysia;
(ii)Individu / Pertubuhan perlu berdaftar dengan KPKM melalui Sistem Pendaftaran GeoAgro;
(iii)Individu / Pertubuhan perlu membuat permohonan dengan MOF melalui Portal BUDI MADANI termasuk membuat pengesahan pendapatan;
(iv)Julat pendapatan kasar tahunan daripada nilai jualan hasil pertanian dari RM50,000 hingga RM300,000; dan
(v)Individu / Pertubuhan yang mengusahakan tanaman / ternakan / akuakultur dan menghasilkan pengeluaran secara berterusan.
Dalam hal ini, petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan perlu berdaftar terlebih dahulu melalui Sistem GeoAgro di pautan https://geoagro register.kpkm.gov.my dan membuat permohonan di Portal BUDI MADANI di pautan https://budimadani.gov.my .
Pada masa yang sama, subsidi dan insentif sedia ada kepada golongan nelayan dan pesawah akan terus dikekalkan. Bagi nelayan, Kerajaan akan terus memberikan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada kategori pemilik vesel perikanan Zon A, B dan C tertakluk kepada kuota yang ditetapkan. Manakala bagi pesawah, Kerajaan telah menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik pada tahun 2023.
Sebagai tambahan, Kerajaan juga bersetuju menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim dan memperkenalkan insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim. Menerusi kenaikan kadar ini, pesawah terlibat akan menerima bayaran insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim.
Selain daripada bantuan tunai kepada pengusaha sektor pertanian, Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut membantu syarikat sektor pertanian dengan pemberian fleet card diesel bersubsidi kepada kenderaan pengangkutan yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 seperti lori rigid hasil pertanian dan lori rigid kandang haiwan.
Permohonan perlu dibuat melalui Sistem MySubsidi Diesel di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.
Sebarang pertanyaan berkenaan bantuan tunai subsidi diesel sektor pertanian boleh menghubungi Bilik Gerakan KPKM di talian 03-8870 1207 / 1147 bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang pada hari bekerja atau emel kepada geoagroadmin@kpkm.gov.my. Pemohon juga boleh hadir ke jabatan / agensi KPKM yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat pengisian borang permohonan.
The post Bantuan Tunai Subsidi Diesel Sektor Pertanian Di Bawah Inisiatif Budi Agri-Komoditi appeared first on Siakap Keli.


