‘Banyak Agensi Haji Dan Umrah Beroperasi Tanpa Lesen’ - PAPUH

17 Apr 2024 • 3:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Banyak agensi haji dan umrah di negara ini beroperasi tanpa lesen sehingga mendatangkan masalah kepada jemaah - gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Sejumlah besar operator haji dan umrah di negara ini dikesan beroperasi tanpa lesen, sehingga mendatangkan masalah kepada pihak yang menjalankan perniagaan itu secara sah.

Kes tembak di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini dipercayai insiden terbaru melibatkan operator ‘haram’.

Dalam kejadian itu, suspek melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu ketibaan pulang jemaah umrah.

Timbalan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Muhammad Mursyid Abu Hassan berkata, pasangan suami isteri itu yang merupakan operator haji dan umrah tidak memiliki sebarang lesen.

Katanya, operator tanpa lesen ini beroperasi secara meluas kerana kegiatan mereka tidak dipantau pihak berwajib.

image is not available
Agensi pelancongan yang mahu menjalankan perniagaan haji dan umrah perlu membayar RM200,000 untuk mendapatkan lesen - gambar hiasan

Menurut Mursyid, banyak laporan telah dibuat berhubung kewujudan operator haram ini tapi mereka masih berleluasa. 

Katanya, aktiviti seumpama itu tidak dipantau oleh kerajaan, justeru tiada sebarang tindakan telah diambil ke atas mereka. 

“Kejadian tembak itu dikatakan kerana isu peribadi tapi apa yang pasti, pasangan suami isteri tersebut beroperasi tanpa lesen.

“Ada juga kes melibatkan penipuan. Jemaah membayar sekian harga untuk pakej tertentu tetapi diberikan pakej berbeza. 

“Ini adalah antara masalah yang dihadapi jemaah apabila mereka pergi dengan agensi tidak berdaftar.

“Perlu ada penguatkuasaan yang tegas untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini terus berlaku,” kata Mursyid sambil memberitahu, PAPUH memiliki 900 ahli.

Katanya, setiap agensi perlu membayar RM200,000 untuk mendapatkan lesen operator haji dan umrah.

Mursyid memberitahu The Vibes, perniagaan haji dan umrah di Malaysia berada di landasan tepat, tetapi keadaan ekonomi yang lemah menyebabkan segelintir jemaah tidak dapat menunaikan ibadat itu.

“Kami tidak ada yang tepat tetapi sekitar 200,000 jemaah Malaysia menunaikan haji dan umrah setiap tahun, berbanding Indonesia yang memiliki 1.6 juta jemaah setahun,” katanya.

image is not available
Harga pakej haji dan umrah bergantung kepada kehendak atau keperluan jemaah - gambar hiasan

Ditanya mengenai pakej termurah dan termahal, Mursyid berkata setiap pakej didatangkan dengan perincian berbeza mengikut keperluan atau kehendak jemaah.

“Jika anda mahu menggunakan pesawat persendirian ke Makkah, kita akan sediakan tapi pastilah harganya lebih mahal. Jika anda mahukan hotel yang berhampiran masjid, harganya juga lebih tinggi.

“Segalanya bergantung kepada apa yang jemaah mahukan. Tiada harga tetap untuk pakej termurah atau termahal,” katanya.

Namun secara asasnya jelas Mursyid, isu yang kritikal ketika ini ialah ketiadaan penguatkuasaan untuk membanteras operasi agensi tidak berlesen, kelemahan matawang ringgit dan kekurangan kuasa membeli. 

“Ini bukan kerana politik tetapi realiti,” katanya.

Meluahkan pendapat senada ialah seorang lagi operator berlesen, Mohd Azri Abdul Razak yang memberitahu, ada banyak syarikat do-it-yourself (DIY) yang menawarkan pakej haji dan umrah.

“Di bawah Akta Pelancongan 1992, adalah salah untuk menjalankan  perniagaan haji dan umrah secara tidak berlesen. 

“Pihak berkuasa perlu menangani perkara ini dengan serius untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. - The Vibes, 17 April 2024