Banyak info pemakanan viral, tapi belum tentu betul. Nak selamat, semak label!

LocalHealth & Fitness
26 Aug 2025 • 10:54 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PERCAYAKAH anda, angka obesiti di Malaysia semakin membimbangkan. Menurut National Health and Obesity Survey 2023, rakyat Malaysia masih berdepan masalah berat badan berlebihan dan obesiti pada kadar yang tinggi.

Puncanya? Banyak, tapi gaya hidup tidak aktif dan cara makan harian tetap jadi penyumbang utama. Antara yang paling ketara ialah pengambilan gula dan natrium berlebihan.

Lebih menyedihkan, ada juga golongan, terutama kanak-kanak dan wanita, yang kekurangan nutrien penting seperti vitamin dan mineral. Malah, kesedaran masyarakat tentang konsep pemakanan seimbang dan saiz hidangan juga masih rendah.

Baru-baru ini, SinarPlus menemu bual Pengurus Kategori Nutrisi Nestlé Malaysia, Leong Ven Luan yang berkongsi tip mudah untuk mula memilih makanan sihat. Katanya, langkah paling asas ialah belajar membaca label produk.

image is not available

“Logo Pilihan Lebih Sihat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan boleh jadi panduan pantas untuk pilih produk dalam kategori tertentu.

"Selain itu, panel pemakanan juga membantu kita semak kandungan gula, garam dan saiz hidangan,” katanya.

Beliau mengingatkan, dalam dunia media sosial sekarang, maklumat tentang nutrisi bercampur aduk antara fakta dan mitos. Ada pihak yang berkongsi dakwaan tanpa sokongan sains, menyebabkan orang ramai keliru.

image is not available

Isu minuman manis juga sering jadi perhatian. Namun, menurut Ven Luan, tiada istilah makanan baik atau buruk. Yang penting ialah corak pemakanan secara keseluruhan.

“Contohnya, mi segera. Kalau dimakan begitu sahaja mungkin tidak seimbang. Jika kita tambah sayur segar, sumber protein macam telur atau ayam, serta ikut konsep Pinggan Sihat Malaysia, suku karbohidrat, suku protein, separuh sayur dan buah, boleh menjadi pilihan yang lebih baik.

"Begitu juga produk tiga dalam satu. Sesekali ambil tak mengapa, asalkan tidak berlebihan,” jelasnya.

image is not available

PENDIDIKAN PEMAKANAN

Pakar itu menegaskan, pemakanan sihat menuntut kesedaran, kepelbagaian dan keseimbangan. Bukan perubahan drastik sehari dua, sebaliknya pilihan kecil tetapi konsisten.

“Kalau rakyat Malaysia mula membaca label, kawal saiz hidangan dan biasakan diri dengan pemakanan seimbang sejak kecil, kita boleh kurangkan risiko obesiti dan penyakit tidak berjangkit.

“Kami percaya akses kepada makanan bernutrisi bukan sekadar soal harga atau ketersediaan. Ia juga tentang pemerkasaan. Sebab itu kami melabur dalam inovasi produk dan program komuniti untuk menyokong tabiat lebih sihat,” katanya.

image is not available

Pakar itu turut menambah, pendidikan pemakanan sejak kecil sangat penting kerana tabiat yang dibina dari awal biasanya berterusan hingga dewasa.

“Kebiasaannya, ia bermula di rumah yang mana contoh ditunjukkan oleh ibu bapa,” ujarnya lagi.

image is not available

Akhirnya, pemakanan sihat bukan tentang pantang larang melampau. Ia tentang perjalanan jangka panjang yang menuntut konsistensi dan kesedaran.

Pilihan kecil yang dibuat hari ini boleh memberi impak besar kepada kesihatan pada masa hadapan.

View Original Article