GEORGE TOWN - Kira-kira 100 penternak kerang dan nelayan di Kampung Kuala Juru, Seberang Perai Tengah (SPT) berdepan kebimbangan apabila pencemaran Sungai Juru yang didakwa semakin serius sejak setahun lalu menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pencemaran yang disyaki berpunca daripada pembuangan sisa kilang dan sisa kolam ternakan udang di kawasan berkenaan menyebabkan lebih 50 peratus hasil pendapatan penternak dan nelayan terjejas susulan kematian kerang serta ikan di sungai tersebut.
"Tinjauan CAP mendapati air Sungai Juru sentiasa keruh dan dipercayai tercemar akibat pelepasan sisa daripada pintu saliran kilang serta saluran paip buangan kolam ternakan udang berhampiran sungai berkenaan.
"Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat yang bergantung kepada sumber sungai untuk mencari rezeki," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
**media[3518003]**
Sementara itu, Ketua Nelayan Kuala Juru, Wahid Othman berkata, masalah tersebut menjadi semakin serius selepas pintu saliran sisa buangan kilang di Sungai Derhaka yang bersambung dengan Sungai Juru dibuka semula selepas sekian lama ditutup.
“Pembuangan sisa kimia ke dalam Sungai Juru kerap berlaku pada waktu pagi sehingga menyebabkan air sungai menjadi hitam dan berbau.
“Selain banyak kerang mati, nelayan juga pernah menemui bangkai ikan terapung di permukaan air,” katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menjadi punca pencemaran berkenaan.
“Saya bimbang jika keadaan ini berterusan, mata pencarian penternak kerang dan nelayan akan terus merosot sekali gus menjejaskan kehidupan keluarga mereka,” katanya.
Dalam pada itu, CAP menggesa Kerajaan Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perikanan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak segera bagi mengatasi pencemaran Sungai Juru.
Menurut Mohideen, penutupan segera saliran yang tercemar dengan sisa buangan di sepanjang sungai tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
"Pencermaran itu bukan sahaja mengancam alam sekitar dan sumber pendapatan nelayan, malah turut menjejaskan bekalan makanan kepada rakyat.
“Kerajaan juga diminta membantu penternak kerang dan nelayan yang terjejas dengan menyalurkan bantuan bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti yang telah lama diceburi,” katanya.
