Banyak Syarikat Pengendali Kenderaan Perdagangan Gagal Audit JISA

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2025 • 3:30 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Percaya atau tidak, lebih 60 peratus daripada 500 syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang diaudit dalam Ops Khas Garis Panduan Sistem Audit Keselamatan (JISA) gagal dalam audit berkenaan.

Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

Antara faktor kegagalan dalam audit yang dilaksanakan bermula 23 Jun hingga 31 Julai itu adalah membabitkan pemasangan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) pada kenderaan.

image is not availableimage is not available

"Keputusan berkaitan dengan audit itu agak mendukacitakan kerana lebih 60 peratus daripada syarikat-syarikat yang diaudit gagal dalam audit JISA.

"Ini adalah fasa pertama audit JISA, kami akan laksanakan (lagi) kerana syarikat-syarikat kenderaan perdagangan ini ada banyak iaitu kira-kira 300,000,” katanya.

Beliau berkata, JPJ akan merangka pendekatan tertentu bagi mengaudit syarikat kenderaan perdagangan yang masih belum diaudit.

"Kami sedang fikirkan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk melihat bagaimana cara memudahkan audit ini dilaksanakan.

"Mungkin melalui pendigitalan ataupun sistem untuk melihat konsep lain yang lebih sesuai,” katanya.

Aedy Fadly berkata, pihaknya memberi tempoh sebulan kepada syarikat yang gagal audit JISA untuk melaksanakan penambahbaikan sebelum tindakan lain termasuk pembatalan permit.