Bapa Baru Sebulan Meninggal, Pelajar Yatim Piatu Daftar UUM Seorang Diri Undang Sebak

LocalFamily & Parenting
24 Sep 2025 • 4:29 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Antara momen paling bermakna sebagai pelajar universiti pastinya semasa kali pertama melangkah kaki ke institusi itu.

Mana tidaknya, perasaan ketika itu sudah tentu bercampur baur, teruja kerana bakal berkenalan dengan rakan-rakan baharu dan gementar untuk menghadapi proses pembelajaran baru yang tentunya berbeza berbanding ketika di alam persekolahan.

Malah, rasa gembira juga sukar untuk digambarkan apabila ibu bapa serta ahli keluarga yang lain menemani di hari tersebut bagi memberi semangat.

Pelajar daftar UUM seorang diri selepas ibu bapa meninggal dunia

Pun begitu, lain pula kisahnya dengan seorang pelajar bernama Putera Iman Shah Shahiran berusia 19 tahun ini apabila hanya datang seorang diri tanpa ditemani keluarga semasa memasuki Universiti Utara Malaysia (UUM) pada baru-baru ini.

Ia bukanlah pilihan dirinya, namun terpaksa kerana ibunya, Allahyarhamah Khatijah Mohd Rashid telahpun meninggal dunia ketika dia berusia 13 tahun pada 2019 lalu.

Lebih menyedihkan, bapanya pula, Shahiran Pake Chi pergi menghadap Ilahi sebulan sebelum dia mendaftar masuk ke universiti awam itu.

Putera dengan langkah longlai seret beg turun dari stesen kereta api

Perkongsian meruntun jiwa mengenai pelajar yatim piatu itu dikongsikan sendiri oleh UUM menerusi laman rasmi Facebook mereka pada semalam (23 September).

“Dengan langkah longlai, beg hitam terseret di tangan dan dua beg sandang di bahu kiri kanan, Putera Iman menuruni tangga Stesen Kereta Api Arau jam 12.15 tengah hari.

“Panas terik tengahari kian membakar, namun hatinya lebih hangat dengan rasa kosong dan sepi. Di wajahnya tersimpan pelbagai perasaan.

“Di setiap derap kaki, tergambar bayangan wajah arwah ibu, Allahyarhamah Khatijah binti Mohd Rashid. Bulan lalu, giliran ayah tercinta, Shahiran Pake Chi, 57, pula pergi menghadap Ilahi,” tulis di kapsyen.

Bapa meninggal dunia ketika tidur, beberapa minggu sebelum daftar UUM

Difahamkan, pemergian bapa Putera yang juga seorang pengawal keselamatan itu amat mengejutkan yang mana Allahyarham dikhabarkan meninggal dunia semasa tidur ketika beberapa minggu sahaja lagi anaknya bakal menjejakkan kaki ke menara gading.

“Awalnya saya rasa hilang arah. Saya tak tahu nak buat apa, tak tahu siapa yang boleh saya harapkan. Tetapi apabila ada kakitangan UUM datang menjemput, saya rasa lega, seolah-olah ada keluarga yang menyambut saya. Terima kasih atas hospitaliti UUM.

“Walaupun panas terik di luar, bila saya masuk ke blok, saya terkejut kerana sejuk seperti dalam bangunan berhawa dingin. Bilik itu ada dua katil, saya pilih katil di sebelah kanan. Bagi saya, itu lebih daripada cukup. Saya amat bersyukur,” kata Putera dalam keadaan sebak.

Menurut UUM, Putera kini bergelar mahasiswa Sarjana Muda Pemasaran berbekalkan CGPA 3.71 dari kolej matrikulasi.

Meskipun kehilangan tempat bermanja, anak tunggal yatim piatu ini memilih untuk bangkit menjadikan pendidikan sebagai bekalan masa depan.