
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia 18 bulan.
Pendakwaan ke atas G Thevendhiran, 40, dibuat hampir tiga tahun selepas kematian kanak-kanak itu yang pada awalnya disiasat di bawah kategori kes berbeza.
Tertuduh hanya mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sebelum ini bekerja di Singapura didakwa membunuh mangsa di sebuah kondominium di Bandar Baru Permas Jaya antara jam 8.30 pagi hingga 10 pagi pada 12 September 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dijatuhkan, pesalah turut berdepan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 kali, sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqila Aliman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 1 Oktober depan untuk penyerahan laporan DNA, patologi serta forensik.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah lain, Thevendhiran didenda RM3,000 dan dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah memiliki bahan lucah yang disimpan dalam telefon bimbitnya.
Majistret A Shaarmini turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir kondominium yang sama kira-kira jam 1 tengah hari pada 18 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 akta yang sama.
Pendakwaan bagi kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Noor Asyikin Shafiqah Atham Malik.
Sebelum ini, polis mengklasifikasikan semula kematian kanak-kanak terbabit sebagai kes bunuh selepas bapa kandung mangsa ditahan pada 18 Julai lalu, dan dikenal pasti sebagai suspek utama.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa bapanya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 13 September 2023.
Pemeriksaan perubatan ketika itu mendapati terdapat kesan lebam di bahagian pinggang mangsa selain perut dan kawasan dubur yang bengkak, sekali gus mendorong siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak berkenaan. - Getaran, 29 Julai 2026





