Seorang bapa kepada dua anak dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kulim selepas mengaku bersalah mencuri beberapa barangan dari sebuah pasar raya, minggu lalu.
Majistret Nur Hamizah Mat Shah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Muhamad Zani Ishak, 49, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Zani didakwa mencuri dua bungkusan serbuk Milo seberat 1.8 kilogram, empat bungkusan Milo 900 gram serta lapan botol syampu dengan nilai keseluruhan RM252.60.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Kulim kira-kira pukul 10.52 pagi pada 15 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Bagi kesalahan kali kedua, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Najihah Ahmad Zulkarnain.
Dalam rayuannya, pihak pembelaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira tertuduh sedang berusaha mendapatkan pekerjaan.
Peguam turut memaklumkan bahawa anak guamnya menyesali perbuatan tersebut dan menjelaskan barangan yang diambil merupakan barang keperluan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan selepas difahamkan tertuduh mencuri barangan itu untuk dijual bagi mendapatkan wang.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan Muhamad Zani menjalani hukuman penjara selama tujuh hari bermula dari tarikh dia ditangkap. – SINAR HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Pukul Kawan Sehingga Retak Tengkorak, 4 Pelajar Usia 14 Tahun Terlibat Kes Buli Ditahan
The post Bapa Dua Anak Dipenjara Tujuh Hari Selepas Curi Milo Dan Syampu Bernilai RM252.60 first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





