Bapa, kakak tiri Zara dijangka beri keterangan dalam inkues September

28 Aug 2026 • 3:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Bapa, kakak tiri Zara dijangka beri keterangan dalam inkues September

Kota Kinabalu: Bapa Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan kakak tirinya dijangka memberi keterangan dalam inkues bagi menentukan punca kematian Zara yang dijadualkan bersambung pada 7 September ini.

Mahathir Hashim Marikin dan anak perempuannya dijangka menjadi deponen seterusnya yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding yang dijadualkan berlangsung selama lima hari.

Prosiding yang memasuki hari ke-86 pada Khamis itu setakat ini menyaksikan seramai 79 deponen memberi keterangan.

Prosiding seterusnya turut dijangka menyaksikan pakar perunding psikiatri forensik, Dr Chua Sze Hung, dan Nurul Atiqah Mohd Noh dari Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Inkues yang bermula pada 3 September 2025 itu telah mendengar keterangan daripada pelbagai deponen, termasuk pelajar, guru, anggota polis, pakar patologi forensik, pakar psikiatri dan pemeriksa dokumen forensik.

Pasukan pegawai yang mengendalikan inkues itu terdiri daripada bekas Pengarah Pendakwaan Sabah yang kini merupakan Pengarah Pendakwaan Melaka, Nahra Dollah serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairus Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus.

Ibu Zara, Noraidah Lamat diwakili peguam Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean Bukhary M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Sementara itu Mahathir diwakili peguam Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyone Conrad.

Peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili Pelajar A manakala Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan mewakili Pelajar B, C, D dan E.

Untuk rekod lima remaja yang hanya dikenal pasti sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas dakwaan menghina Zara.

Kelima-lima mereka mengaku tidak bersalah dan kes berkenaan masih berjalan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved