Bapa rayu bantu kos rawatan barah mulut anak RM100,000

LocalHealth & Fitness
14 May 2026 • 4:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bapa rayu bantu kos rawatan barah mulut anak RM100,000
Mahadi menunjukkan gambar anaknya, Mohd Arif ditemani isteri, Rahimah yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Bertam, Pulau Pinang.

KUALA TERENGGANU – Seorang bapa merayu ihsan orang ramai bagi mengumpul sumbangan berjumlah RM100,000 untuk menampung kos rawatan barah mulut yang dialami anak lelakinya.

Mahadi Che Ngah, 63, berkata, anaknya, Mohd Arif, 33, kini sedang bertarung nyawa menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Bertam, Pulau Pinang.

Warga emas dari Kampung Belukar Sukai, Kepong itu berkata, Mohd Arif yang merupakan anak kedua daripada lima beradik sudah berada di Pulau Pinang sejak dua minggu lalu untuk menjalani rawatan yang dijadualkan mengambil masa selama dua bulan.

“Saya selaku bapa merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan anak saya yang dianggarkan mencecah RM100,000.

“Mohd Arif juga bekerja sebagai tukang jahit dengan pendapatan tidak tetap, jadi kami amat memerlukan bantuan kewangan untuk membiayai kos rawatan yang sedang dijalankan sekarang,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, isteri Mohd Arif, Rahimah Mohamad Alias, 30, berkata, beban kewangan mereka semakin menghimpit apabila dia perlu membelanjakan kira-kira RM4,000 hanya untuk menyewa inap desa di Pulau Pinang bagi menemani suaminya.

Ujarnya, jumlah itu tidak termasuk perbelanjaan makan, minum serta kos sampingan lain sepanjang tempoh suaminya menjalani sesi kemoterapi dan radioterapi di sana.

Menceritakan perjalanan penyakit suaminya, Rahimah berkata, segalanya bermula apabila suaminya mengadu sakit gigi dan ulser mulut sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Mac lalu.

“Hampir keseluruhan giginya sudah dicabut namun kesakitan tetap dirasai. Hasil pemeriksaan di HSNZ mendapati suami menghidap barah mulut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

“Pihak HUSM kemudian merujuk pula ke Pusat Perubatan USM Bertam kerana lokasi tersebut mempunyai kepakaran khusus berkaitan kanser lidah dan mulut bagi mematikan sel barah sebelum ia merebak lebih teruk,” jelasnya.

Tambahnya, disebabkan kos rawatan dan perubatan yang terlalu tinggi, mereka sekeluarga tidak mempunyai pilihan lain selain memohon bantuan daripada masyarakat.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam (13017028994493) atas nama Mohd Arif Mahadi.

View Original Article