Bapa reda ujian Ilahi selepas 11 tahun penantian

LocalFamily & Parenting
28 Jul 2025 • 10:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki berada di tanah perkuburan selepas selesai urusan pengebumian puteri kembarnya.

SHAH ALAM – “Alhamdulillah, puteri kembar kami kembali ke rahmatullah. Terima kasih ALLAH atas pinjaman terindah buat diriku dan isteriku.”

Itu luahan penuh reda seorang bapa dikenali sebagai Tuan Amin yang berkongsi detik sayu pemergian dua cahaya mata kembarnya yang juga zuriat pertama mereka selepas 11 tahun menanti.

Menerusi perkongsian video di TikTok, Tuan Amin dilihat berada di tanah perkuburan bersama ahli keluarga serta kenalan rapat, sambil menyiram air di atas pusara kedua-dua puteri kecilnya.

Dia turut menzahirkan rasa syukur atas pinjaman sementara itu meskipun ujian kehilangan begitu berat untuk ditanggung.

“Kembar ini adalah harapan kami selepas 11 tahun penantian. Namun, ALLAH lebih menyayangi mereka. Doakan kami dan semua ibu bapa TTC,” tulisnya di ruangan komen kepada pengikut yang memberikan kata-kata semangat dan doa.

Dalam kapsyennya pula, Tuan Amin berkata: “Moga berjumpa di syurga nanti, anak-anak,” sambil mengiringi perkongsian dengan tanda pagar #TTC, #Wildan, #AnakSyurga dan #FYP.

TTC atau Trying To Conceive merujuk kepada pasangan yang sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat dan pemergian ini nyata memberi kesan mendalam kepada pasangan tersebut selepas bertahun-tahun menunggu kehadiran cahaya mata.

Perkongsian menyentuh hati itu meraih perhatian ramai yang turut menzahirkan ucapan takziah, doa dan sokongan kepada Tuan Amin dan isterinya agar terus tabah menghadapi ketentuan Ilahi.

 

 

View Original Article