KOTA KINABALU – Abang kepada Noraidah Lamat hadir sebagai saksi ke-72 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang berlangsung di Mahkamah Koroner di sini pada Rabu.
Abu Bakar Lamat, 47, merupakan saksi kedua melibatkan ahli keluarga Noraidah dan juga bapa saudara kepada Allahyarhamah Zara Qairina yang akan memberikan keterangannya di mahkamah.
Prosiding inkues yang memasuki hari ke-68 itu turut dihadiri Noraidah sendiri dengan membawa potret anak tunggalnya yang meninggal dunia pada 17 Julai 2025.
Ini merupakan hari kedua beliau dilihat hadir pada prosiding bulan ini bagi menemani ahli keluarga termasuk kakak iparnya, Nur Shira Abdullah, 46, yang sudah memberikan keterangannya pada Rabu.
Sebelum itu, pasukan pegawai pengendali inkues ini terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus, manakala Hakim Koroner ialah Amir Shah Amir Hassan.
Pasukan peguam yang mewakili Noraidah ialah Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.






