
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui perbuatan mendekati zina apatah lagi berzina merupakan perkara yang dilarang dalam agama Islam.
Bukan sahaja berdosa, bahkan perkara maksiat itu juga membawa kepada keburukan untuk sesiapa sahaja yang melakukannya.
Sebagai contoh ada yang berdepan dengan pelbagai masalah selepas berzina seperti mendapat anak tidak sah taraf atau luar nikah, dibuang keluarga, ada juga yang sanggup membuang bayi yang tidak berdosa dek kerana takut jika diketahui keluarga atau tidak mahu bertanggungjawab atau paling teruk adalah membunuhnya.
Peguam jelaskan tentang boleh ke tuntut nafkah anak tak sah taraf dari bapa kandung
Baru-baru ini seorang peguam syarie, Naim Mokhtar ada menjelaskan mengenai nafkah anak tidak sah taraf.
Menerusi perkongsian di TikTok, Naim memberikan situasi di mana seorang wanita yang mempunyai anak tidak sah taraf dan berbin atau binti Abdullah bertanya mengenai adakah dia boleh membuat tuntutan nafkah dari bapa kandung anak berkenaan.

Tak wajib tanggung nafkah anak tak sah taraf kerana berada di bawah tanggungan ibu
Menurutnya, bapa kandung kepada anak tersebut tidak wajib menanggung nafkah anak tidak sah taraf.
Wanita itu lalu bertanya, adakah ia bermaksud dia tidak boleh membuat tuntutan nafkah di mahkamah untuk anak tersebut?
“Ya, tidak boleh. Nafkah anak tidak sah taraf di bawah tanggungan ibu kandung,” katanya.
Jelas beliau lagi, di dalam undang-undang Syariah nafkah anak tak sah taraf merupakan tanggungjawab ibu kandung dan bukan bapa kandung. Ini kerana, anak itu tidak dinasabkan kepada lelaki terbabit, maka tiada kewajipan nafkah dari sudut hukum.
“Kalau ada yang kat undang-undang ini tidak memihak kepada wanita, jangan terus salahkan undang-undang. Muhasabah diri dulu. Hukum ini wujud sebagai kesan kepada perbuatan zina.”

View on Threads
Zina beri kesan yang panjang
Tambahnya lagi, kerana itu Islam tidak hanya mengharamkan zina, bahkan turut melarang sesiapa sahaja daripada mendekatinya.
Ini kerana, zina bukanlah satu dosa yang kecil malah turut memberikan kesan yang panjang kepada si pelaku seperti nasab (anak), nafkah, hak anak termasuk beban hidup ibu.
“Anak tetap tidak berdosa. Anak tetap wajib dibela. Tetapi hukum tidak boleh diubah hanya untuk menutup kesilapan manusia.
“Islam itu adil, dan setiap perbuatan ada akibatnya,” kata Naim lagi.
Pejabat Mufti WP turut jelaskan siapakah yang bertanggungjawab beri nafkah kepada anak tak sah taraf
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman sesawang turut menjelaskan siapakah individu yang bertanggungjawab memberikan nafkah kepada anak tidak sah taraf.
“Menurut Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan anak yang tidak sah taraf ialah: ‘Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan Qamariah dari tarikh sesuatu pasangan ini diakad nikahkan ialah anak tidak sah taraf’ (Rujuk buku Fatwa-Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan 1987-2010, hlm. 8, 37 & 38” katanya.
Menurutnya lagi, anak yang tidak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologi (kandung) mengikut pandangan majoriti ulama empat mazhab.
Kecuali jika anak yang dilahirkan akibat dirogol dan dibuktikan dengan sewajarnya
“Tanggungjawab ibu memberi nafkah kepada anak tak sah taraf diperuntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 80. (Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tidak sah taraf) mengatakan:
Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tidak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melain seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.”
Syarat-syarat mewajibkan ibu beri nafkah pada anak
Namun, para ulama juga meletakkan syarat tertentu dalam menyediakan keperluan nafkah anak tidak sah taraf iaitu seorang ibu berkewajipan memberi nafkah kepada anaknya dalam keadaan seperti:
- Anak itu tidak mampu berdikari. Untuk anak perempuan sehingga dia berkahwin atau bekerja.
- Anak itu miskin dan tidak ada harta sendiri untuk menyara dirinya.
- Anak itu mempunyai cacat anggota. Sekiranya sudah besar atau baligh dan mampu berdikari, ibu tidak wajib lagi memberikan nafkah.
- Anak masih menuntut ilmu (belajar).
Sekiranya si ibu tidak mampu untuk memberi nafkah makan kewajipan berkenaan berpindah kepada waris ibu. (Rujuk: Al-Fiqh Al- Islami wa Adillatuhu, 10/7413-7415).
“Setelah meneliti perbahasan di atas, justeru jelaslah bahawa kewajipan memberi nafkah dan saraan hidup bagi anak tak sah taraf adalah terletak kepada ibunya mengikut Hukum Syarak.
“Hal ini adalah disebabkan anak tak sah taraf hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja dan tidak dinasabkan kepada bapa yang menyetubuhi ibunya melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat perbuatan rogol,” jelasnya lagi.



