
NEW DELHI – Seorang lelaki nekad mengelar leher sendiri selepas membunuh dua anak perempuannya di sebuah bilik hotel bertaraf lima bintang dalam kejadian di bandar Bengaluru dalam negeri Karnataka, barat daya India, lapor stesen penyiaran NDTV.
Suspek dikenali sebagai Imran, 40, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher di dalam tandas.
Dua anak perempuannya yang masing-masing berumur lima dan 10 tahun pula ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di atas katil semalam.
Susulan penemuan mengejutkan itu, kakitangan hotel membawa imran ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Polis berkata, Imran mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
“Saya tidak mahu anak-anak saya membesar dengan ibu seperti dia, jadi saya nekad membunuh mereka dan mengambil nyawa sendiri,” kata polis memetik kenyataan suspek.
Dia didakwa mencekik kedua-dua anak perempuannya sehingga mati sebelum mengelar lehernya sendiri.
“Kami akan mengambil tindakan lanjut dan melancarkan siasatan untuk mengetahui motif sebenar,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis, Mithun Kumar. – AGENSI
The post Bapa tempah hotel, cekik 2 anak sampai mati appeared first on Kosmo Digital.

