Bapa tiga anak perlu dana RM25,000 untuk dua pembedahan

Health & Fitness
21 May 2026 • 4:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bapa tiga anak perlu dana RM25,000 untuk dua pembedahan
Tiroid pada leher Mohd Riduwan semakin membesar dan memerlukan pembedahan
Image from: Bapa tiga anak perlu dana RM25,000 untuk dua pembedahan
Lailatul menunjukkan keadaan kesihatan suami yang memerlukan pembedahan ketumbuhan di kepala pada Jun depan.

KUANTAN – Selepas hampir enam tahun berdepan penyakit tiroid, seorang bapa kepada tiga anak kini diuji pula dengan ketumbuhan di kepala yang memerlukan pembedahan segera di Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Rizuwan Muhammad Ini,42, memerlukan bantuan kewangan kira-kira RM25,000 bagi menampung kos rawatan, ubat-ubatan dan keperluan perubatan sebelum prosedur dua pembedahan dapat dilakukan.

Isterinya, Lailatul Hidayah Kamal Hatta, 42, berkata, penderitaan suaminya bermula pada 2019 apabila terdapat benjolan pada bahagian leher sebelum mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Menurutnya, keadaan leher suaminya semakin membesar dan membengkok walaupun sudah menerima ubat sebelum dirujuk ke beberapa jabatan pakar untuk pemeriksaan lanjut.

“Doktor kemudian sahkan suami saya menghidap tiroid sebelum dirujuk menjalani pembedahan di Hospital Pekan.

“Pembedahan pertama itu mengambil masa sekitar lima hingga tujuh jam kerana ketumbuhan tersebut sudah melekat pada bahagian tulang,” katanya ketika ditemui di Taman Balok makmur di sini pada Khamis.

**media[3528371]**

Dia memberitahu, keadaan suaminya kembali stabil selepas menjalani rawatan susulan hampir dua tahun, namun ketumbuhan tersebut kembali aktif dan muncul semula di bahagian sebelah kiri.

“Pada mulanya sebelah kanan sudah dibuang, tetapi selepas itu ada benjolan kembali muncul di sebelah kiri pula.

"Ketika kami pergi membuat imbasan tomografi berkomputer (CT scan) untuk memeriksa perkembangan tiroid itulah doktor nampak ada sesuatu yang tak kena pada bahagian kepala suami.

"Kami kemudian dirujuk ke Jabatan Bedah Plastik untuk ujian MRI pengimejan resonans magnetik (MRI) dan disahkan terdapat tumor di kepala," katanya.

Lailatul Hidayah memaklumkan suaminya pernah menjalani pembedahan awal di HTAA pada tahun lalu, namun doktor menutup semula bahagian tersebut selepas mendapati keadaan sebenar tidak seperti dijangka.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati suaminya memerlukan pembedahan di HKL sekitar Jun ini kerana ketumbuhan itu semakin membesar.

Jelasnya, doktor hanya mampu membuang kira-kira 80 peratus ketumbuhan kerana sebahagiannya terlalu hampir dengan otak.

“Baki ketumbuhan itu akan dirawat susulan termasuk radioterapi selepas pembedahan,” katanya.

Dalam pada itu, Lailatul Hidayah berkata, mereka kini berdepan kesukaran mendapatkan ubat khas yang diperlukan sebelum pembedahan di kepala disebabkan mempunyai sumber kewangan yang tidak mencukupi.

Ujarnya, Mohd Rizuwan hanya bekerja sebagai pekerja kilang dan mempunyai pendapatan sekitar RM2,500 bagi menanggung keluarga.

“Doktor maklumkan harga ubat tersebut dianggarkan sekitar RM900 sebotol dan boleh meningkat bergantung kepada jumlah dos yang diperlukan sebelum pembedahan dapat dijalankan.

"Saya pula tidak bekerja dan dua anak masih bersekolah serta kehidupan sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada suami," luahnya.

Dia berkata, pembedahan tiroid kali kedua hanya akan dijalankan selepas pembedahan di kepala selesai dan keadaan pesakit kembali stabil, selain turut melibatkan penggunaan mesin pemantauan saraf yang disewa dengan kos sekitar RM6,000 di HTAA.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan akaun CIMB 7652561733 atas nama Lailatul Hidayah.