Barat Ada Halloween, Kita Ada Festival Hantu Lapar Yang Meriah Disambut Tahun Ini

15 Oct 2022 • 8:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Masyarakat Tionghua membakar wang neraka dan patung Dewa Penjaga Hantu di akhir festival Hantu Lapar untuk ‘mengembalikan’ hantu-hantu ke alam lain dengan aman. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Kebanyakan pusat beli belah sudah mula menjual kostum dan aksesori ‘hantu’ bagi meraikan kehadiran festival itu kelak. 

Walaupun Malaysia bukanlah negara dominasi penganut agama Kristian, namun kemajmukan masyarakat menyebabkan ada festival agama lain turut diraikan bersama. 

Dan ketika mereka menyambut kehadiran Halloween, rakyat Malaysia turut mempunyai perayaan yang mempunyai persamaan dengan Halloween dan lebih awal menyambutnya Ogos lepas terutama bagi masyarakat Tionghua yang mengamalkan agama Buddha dan Taois. 

image is not available
Bulan mengambang ketika perayaan penutup festival Hantu Lapar di Sungai Long baru-baru ini. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Festival Hantu Lapar atau Hungry Ghost Festival diraikan pada bulan lunar ketujuh dalam kalendar Cina di mana ketika itu mereka percaya nenek moyang mereka yang telah meninggal dunia akan keluar dari neraka pada hari pertama bulan berkenaan untuk mencari makanan dan hiburan. 

Bagi orang yang mempercayainya terutama mereka di bahagian Asia Timur, inilah masanya untuk berwaspada, meningkatkan pantang larang termasuk melakukan penyembahan kepada raja kematian yang mereka percaya sebagai tuhan di dunia bawah tanah. 

image is not available
Colok-colok dibakar bagi meraikan kehadiran festival Hantu Lapar. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Sepanjang perayaan Hantu Lapar ini, masyarakat Tionghua terutamanya akan menyiapkan mazbah sementara dan membakar colok-colok besar di tepi jalan selain memainkan opera Cina di pelbagai lokasi yang dikatakan mampu meraikan hantu-hantu yang sedang berkeliaran. 

Pada perayaan itu juga akan menyaksikan penganut Taois menyembah dewa nyawa yang dikenali sebagai Di Guan Da Di pada hari ke-15 bulan berkenaan. 

Selepas dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19 yang menghalang sebarang aktiviti luaran, tahun ini menyaksikan masyarakat Tionghua di Malaysia kembali meraikan festival tradisi melebihi 100 tahun itu dengan lebih meriah. 

image is not available
Para sami turut melakukan upacara sembahyang bagi ‘mengembalikan’ hantu-hantu dengan aman. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Selain opera Cina, colok dan duit-duit neraka dibakar secara besar-besaran, dipercayai untuk disembahkan kepada penjaga neraka, nenek moyang mereka yang telah meninggal dunia dan juga hantu-hantu yang berkeliaran tanpa keluarga. 

Festival ini walaupun dikaitkan dengan hantu, namun ia sebenarnya lebih kepada pengajaran kepada generasi muda tentang kepentingan berbakti, kebajikan, penghormatan, ketaatan dan peduli terhadap nenek moyang dan orang lain di luar lingkungan keluarga mereka.

image is not available
Sembahan makanan, arak dan buah-buahan untuk si mati akan dilakukan pada festival Hantu Lapar. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Itulah sebabnya kita akan dapat perhatikan ada di sesetengah tempat terutama di simpang jalan beberapa persembahan makanan bersama colok diadakan. 

Menurut mereka yang mempercayainya, perkara itu dilakukan bagi memberi peluang kepada hantu yang ‘berpeleseran’ tanpa keluarga agar dapat meraikan bersama festival berkenaan dan tidak dipinggirkan. 

image is not available
Walaupun agak kelakar namun persembahan tanpa penonton dipercayai untuk dipersembahkan kepada si mati yang keluar semasa festival Hantu Lapar. - Gambar Abdul Razak Latif

Semasa festival ini berlangsung, terdapat beberapa pantang larang yang perlu dilakukan oleh bukan sahaja masyarakat Tionghua yang meraikan, tetapi kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan kehidupan mereka. 

Antaranya adalah persembahan makanan yang diletakkan di tepi-tepi jalan tidak boleh dipijak dan disepak atau disepah-sepahkan. 

Alasannya ialah disebabkan hantu-hantu berkenaan sudah terlalu lama berlapar dan secara logik jika makanan hantu-hantu itu dirosakkan, pasti mereka akan marah. Mungkin agak kelakar, namun jika ia terjadi kepada kita, apa yang akan kita lakukan?

image is not available
Replika kereta mewah dan bas dibakar untuk ‘kegunaan’ si mati di alam lain. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Sementara di tokong-tokong pula, para sami akan mengatur aktiviti perayaan yang dipercayai perkara paling penting untuk menyenangkan hantu-hantu yang berkeliaran untuk mengelak daripada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Selepas tiba hari pintu neraka mahu ditutup, masyarakat Tionghua akan mula membakar wang neraka dan pakaian buat hantu-hantu yang dipercayai bakal digunakan di alam neraka kelak. 

Mereka turut membakar papan nama si mati berserta gambar yang akan diletakkan semula ke tempat yang asal semasa ia dikeluarkan pada upacara penyembahan.

image is not available
Pembakaran wang neraka, replika bangunan, kereta dan lain-lain dipercayai boleh digunakan oleh si mati di alam lain. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Untuk memastikan hantu-hantu ini pergi, sami Taois dan Buddha akan membaca mantera untuk memastikan hantu-hantu kembali ke alam kubur dan dipercayai hantu-hantu itu takut kepada bunyi-bunyian maka ‘pengusiran’ itu diadakan dengan menggunakan mercun, jeritan dan ratapan. – Getaran, 15 Oktober 2022

image is not available
Wang neraka dibakar yang dipercayai boleh digunakan oleh nenek moyang masyarakat Tionghua yang sudah meninggal dunia - Gambar oleh Abdul Razak Latif

View Original Article