
Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengesahkan BN Sabah akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Sabah berkata, keputusan untuk bergabung itu telah dimuktamadkan dalam satu ‘retreat’ Umno Sabah di Pulau Pinang hujung tahun lalu.
Menurutnya, kerjasama itu sudah muktamad walaupun belum secara rasmi, dengan perjumpaan dan perbincangan tidak rasmi antara kedua belah pihak sudah beberapa kali diadakan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, satu perbincangan rasmi akan diadakan dalam masa terdekat, sekali gus menjawab banyak persoalan dan desas-desus tentang pihak mana yang akan bekerjasama dengan Umno Sabah pada PRN17 nanti.
Tambahnya, selain bergabung dengan PH Sabah, pihaknya juga terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain yang mempunyai kesetiaan untuk bersama dalam gabungan itu.
“Kita memutuskan akan bergabung dengan PH namun kita juga tidak akan ‘tutup pintu’ kepada parti lain yang kita tengok ada keinginan, kesungguhan dan kesetiaan untuk bergabung.
“(Walaupun) PH belum umum (kerjasama BN/PH Sabah), saya perlu umumkannya kerana akar umbi (Umno Sabah) telah lama menunggu. Semakin lama tunggu, semakin kita berpecah.
“(Justeru) satu perbincangan (dengan PH Sabah) akan diadakan dalam masa terdekat sebab PRN17 semakin dekat,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, di sini, Ahad.
Mengenai kemungkinan kerjasama dengan Warisan, Bung yang turut mengumumkan akan mempertahankan kerusi Lamag yang disandangnya, enggan mengulas perkara itu.
Mengenai sasaran kerusi, beliau berkata, soal kerusi bukan keutamaan ketika ini, sebaliknya faktor calon boleh menang perlu diberi keutamaan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kinabatangan itu tidak menolak kemungkinan BN Sabah akan letakkan calon di 41 kerusi pada PRN17 nanti, sebagaimana jumlah ditandingi parti itu pada pilihan raya sebelum ini.
“Bukan kita mengharap (jumlah tertentu agihan kerusi). Kita mahu calon boleh menang, (namun jumlah kerusi) harus fleksibel kerana sebelum ini (PRN16) kita tanding di 41 kerusi.
“(Jumlah) kerusi akan kita bincang, cuma keutamaan kita adalah parti yang mempunyai banyak penyokong itu. Kita bagi peluang sebab pilihan raya ini perlu menang bukan hanya kuota, kalau kuota (banyak) tapi kalah..semua lingkup,” tegasnya.
PKR Sabah dalam satu kenyataan pada Isnin, menyambut baik kerjasama politik BN-PH Sabah itu, dan berpendapat BN Sabah perlu menyelesaikan perselisihan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin berkata, ia wajar bagi memastikan tiada sebarang pertelingkahan dalam kerjasama yang dibentuk semua rakan parti Kerajaan Perpaduan.
“Biarlah kerjasama yang dibentuk ini tanpa perselisihan dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, justeru pandangan kami, BN Sabah perlu jernihkan hubungan dengan GRS.
“Kita tidak mahu pertelingkahan dua pihak ini menyebabkan PH tersepit di tengah-tengah dan seterusnya menyukarkan gerak kerja dari segi jentera ketika pilihan raya berlangsung.
“Apa yang penting adalah bagaimana BN dapat berperanan bersama PH dan GRS dalam kerajaan negeri bersama-sama membangunkan Sabah seperti yang dilakukan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan,” katanya.
Mengenai keterbukaan gabungan BN/PH Sabah bekerjasama dengan parti lainnya pada PRN17 nanti, Razeef menjelaskan PKR Sabah dengan autonomi yang ada akan mengadakan perbincangan bersama komponen PH.
Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat itu berkata ia bagi menentukan rakan kerjasama strategik dalam agenda reformasi di Sabah, selaras dengan Gagasan Malaysia Madani.
Dalam pada itu, Razeef menafikan berlaku perbincangan tidak rasmi beberapa kali antara BN Sabah dan PH Sabah, sebaliknya hanya sekali pertemuan tidak rasmi iaitu pada November tahun lalu.
Katanya, pertemuan di Hotel Magellan itu disertai Setiausaha Agung BN Pusat, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Bung Mokhtar dengan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud serta wakil-wakil parti komponen PH Sabah.
Menurutnya, pertemuan itu berlaku selepas PKR Sabah sebelumnya membuat teguran dan saranan kepada mana-mana parti agar bertemu dengan PH Sabah jika mahu menjalin kerjasama politik.
“Bagi kami, sesiapa yang mahu bekerjasama harus berjumpa, berbincang dengan kami. Bukan berbincang di atas (presiden) sebab keputusan kami yang buat dan kami tahu siapa sesuai untuk bekerjasama,” tegasnya.
