Barry Callebaut, Maersk buka gudang biji koko terbesar Asia Pasifik di Pasir Gudang

11/09/2025 - 15:15
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 11 Sept – Barry Callebaut Group dan AP Moller-Maersk merasmikan pembukaan salah satu gudang penyimpanan biji koko terbesar di rantau Asia Pasifik yang letak di Pasir Gudang, Johor.
Kerjasama antara pemain utama industri coklat dan koko global bersama gergasi logistik dunia itu turut menandakan lonjakan besar dalam keupayaan logistik serta pemprosesan koko Malaysia.
Gudang merangkumi lebih 55,800 meter persegi dengan kapasiti hampir 40,000 tan metrik biji koko, menjadikannya antara kemudahan penyimpanan koko paling canggih dan berskala besar di rantau ini.
"Perkongsian strategik ini mula dijalin sejak 2023 dengan tempoh kerjasama selama 10 tahun, bagi menyokong rantaian bekalan peringkat global ke Asia Pasifik," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Ia turut merupakan kemudahan bertingkat dengan tanjakan pertama di Pasir Gudang, dibina khusus untuk keperluan penyimpanan koko dan kedudukannya pula berhampiran Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Selain itu, tambah kenyataan tersebut, gudang berkenaan juga hanya satu kilometer dari kilang pemprosesan Barry Callebaut dan direka untuk mengoptimumkan kelancaran penghantaran peringkat global.
Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr Ramle Kasin dalam ucapan perasmian berkata, premis ini turut dilengkapi Sistem Pengurusan Gudang (WMS) terkini daripada Maersk.
“Kemudahan baharu ini selaras dengan agenda nasional untuk memperkukuhkan sektor agrokomoditi, serta meningkatkan tahap daya saing Malaysia dalam peta koko antarabangsa,” kata beliau.
WMS ujarnya, menawarkan keupayaan penjejakan inventori masa nyata, aliran kerja automatik serta kawalan data mantap di samping ciri mampan seperti pencahayaan dan sistem pengudaraan terbaik.
Dalam pada itu, Presiden Global Cocoa, Barry Callebaut, Alain Freymond berkata, gudang tersebut memberi kawalan kualiti yang lebih tinggi dan keupayaan memenuhi permintaan para pelanggan.
“Dalam landskap hari ini, pengurusan koko yang begitu cekap sebenarnya amat kritikal dan gudang ini turut dimasukkan dengan pelbagai sistem terbaik bagi mengurangkan jejak karbon," katanya.
Tambah beliau, sejak 2022, Maersk memainkan peranan penting dalam menyokong rantaian bekalan Barry Callebaut melalui perkhidmatan logistik darat dan laut yang bersepadu di seluruh dunia.
Presiden Asia Pasifik, Maersk, Ditlev Blicher pula berkata, pihaknya sentiasa menyokong Barry Callebaut termasuk daripada lokasi penanaman koko global, terus ke kilang pemprosesan di Asia.
“Kami berbangga menjadi rakan strategik. Gudang ini menzahirkan keupayaan rumusan logistik hujung ke hujung berdaya tahan dan responsif terhadap keperluan pasaran,” katanya. - DagangNews.com
standard
