Baru 17 Tahun Dah Jadi Tekong, Polis Cekup Remaja Cuba Seludup 25 PATI Guna Vellfire

4 Aug 2022 • 12:16 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Cubaan 25 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mencari pekerjaan di Malaysia gagal apabila kesemua mereka dicekup polis di Jalan Selinsing, Kuala Lumpur, kelmarin (2 Ogos).

Polis terserempak dengan MPV yang mencurigakan

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, rondaan dijalankan oleh Ketua Balai Polis Jinjang telah terserempak dengan sebuah MPV jenis Toyota Vellfire yang mencurigakan.

“Ketika dihampiri, kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire itu memecut laju dan enggan berhenti.

“Polis mengejar kenderaan berkenaan yang kemudiannya melanggar motosikal ditunggangi anggota polis termasuk tiga kereta di lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available
Foto: FB POLIS Sentul

19 lelaki dan 6 wanita warga asing di dalam Vellfire

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati kereta tersebut dipandu seorang remaja berusia 17 tahun manakala di bahagian tempat duduk belakang terdapat 19 lelaki dan enam wanita berumur dalam lingkungan 15 hingga 39 tahun.

image is not available
Foto: FB POLIS Sentul

Tambah Beh Eng, seorang lagi lelaki warga tempatan yang berada di sebelah tempat duduk hadapan bagaimanapun berjaya meloloskan diri semasa kemalangan itu berlaku.

Kesemua mereka tiada dokumen pengenalan diri dan perjalanan sah

“Hasil semakan identiti mendapati semua penumpang tidak memiliki pengenalan diri dan dokumen perjalanan sah.

“Pemandu yang ditahan mengaku tiba dari Rantau Panjang di Kelantan bagi membawa masuk Pati terbabit untuk bekerja di negara ini,” katanya lagi.

Tekong Caj PATI RM6,000 Setiap Seorang

Berdasarkan pengakuan pemandu terbabit, kesemua PATI dikenakan bayaran sebanyak RM6000 oleh penghantar (tekong) sebagai upah membawa mereka.

Sehubungan itu, kesemua suspek ditahan reman bermula 3 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Pihak polis Kuala Lumpur meminta sesiapa yang mempunyai sebarang informasi berkaitan sindiket Antipemerdagangan Orang agar menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482222.

image is not available
Foto: FB POLIS Sentul

Source: