Baru bayar saman RM7,000, pemandu lori berang disaman lagi

15 Sep 2026 • 6:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Baru bayar saman RM7,000, pemandu lori berang disaman lagi
Pemandu terbabit mempertikaikan tindakan diambil pegawai JPJ atas kesalahan yang dilakukannya dalam Ops Kenderaan Perdagangan, pada Selasa.

SUNGAI BULOH - "Lebih baik saya mati sahajalah, asyik kena saman sahaja, saya baru bayar saman RM7,000 lebih bulan lepas kena saman lagi.”

Itu reaksi seorang pemandu lori tempatan berusia lingkungan 40-an selepas dikenakan tindakan dalam Ops Kenderaan Perdagangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini, pada Selasa.

Pemandu berkenaan yang berang selepas disaman turut mengugut mahu membunuh diri sebelum menghempas telefon bimbitnya sendiri.

Terdahulu, pemandu terbabit dikesan pegawai operasi yang menaiki kenderaan tanpa logo selepas mengekori dan memerhati pergerakan lori berkenaan.

Pemerhatian mendapati lori terbabit berada di lorong kedua untuk beberapa minit sebelum pegawai operasi bertindak memintas sebelum menahan untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut.

Pemandu terbabit kemudian meninggikan suara ketika menerima saman daripada pegawai JPJ.

"Saya bukan orang kaya encik, ini saman ratus-ratus, upah pun berapa ratus sahaja, itu hari saya sudah naik mahkamah, saya semua rekod ada," katanya.

Dalam operasi sama, seorang pemandu bas ekspres turut memberi alasan tidak mengetahui kenderaan berat tidak dibenarkan berada lama di lorong selain lorong paling kiri.

"Saya baru mula bawa bas lepas pencen dalam setahun lebih sahaja, saya tidak tahu pula tak boleh duduk dekat lorong itu, tidak didedahkan tentang perkara ini," katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved