Baru enam hari bergelar suami, operator kilang maut nahas motosikal terbabas

23 Jul 2026 • 4:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Baru enam hari bergelar suami, operator kilang maut nahas motosikal terbabas
Nor Hazulaini berkata, mereka sekeluarga masih terkejut mengenangkan menantunya terbabit dalam kemalangan maut.
Image from: Baru enam hari bergelar suami, operator kilang maut nahas motosikal terbabas
Gambar Allahyarham Adam Harif dan Nadiatull Safera pada majlis perkahwinan mereka di Jalan Nenas, Meru di sini.
Image from: Baru enam hari bergelar suami, operator kilang maut nahas motosikal terbabas
Nor Hazulaini (kiri) dan Samsiah (tengah) ketika ditemui di kediamannya pada Khamis.

KLANG - Kegembiraan meraikan majlis perkahwinan enam hari lalu bertukar menjadi duka selepas pengantin lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Meru Tambahan, di sini pada Rabu.

Ibu mentua mangsa, Nor Hazulaini Che Deraman, 42, berkata, Allahyarham Adam Harif Abdullah, 21, baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan anak perempuannya, Nadiatull Safera Samsun, 18, di kediaman mereka di Jalan Nenas, Meru pada Sabtu lalu.

Menurutnya, selepas majlis itu, dia pulang ke kampung halamannya di Tumpat, Kelantan bagi menjaga neneknya yang uzur.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 9.30 pagi Rabu, dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada ahli keluarga yang memaklumkan menantunya terbabit dalam kemalangan maut.

"Saya terus membeli tiket bas untuk pulang, namun apabila tiba di rumah malam tadi, suasana yang sepatutnya masih diraikan bertukar menjadi majlis tahlil.

"Kami sekeluarga masih terkejut dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pada Khamis.

**media[3592215]**

Terdahulu, media melaporkan kemalangan kira-kira jam 8.50 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Jalan Nenas menuju ke tempat kerjanya.

Motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan tercampak ke laluan bertentangan lalu terkena bahagian tepi sebuah lori.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, petang Rabu.

Tiada perubahan pelik

Nor Hazulaini berkata, menantunya yang bekerja sebagai operator kilang di Bandar Bukit Raja itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.

"Adam seorang yang baik hati, ceria dan rajin mencari rezeki untuk keluarga. Kehilangannya amat mengejutkan, namun kami reda dengan ketentuan Allah," jelasnya.

**media[3592260]**

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Samsiah Samit, 63, berkata, dia antara individu terawal mengetahui kejadian itu selepas menerima mesej yang tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp.

Katanya, ketika kejadian dia sedang menghadiri mesyuarat di Puncak Alam sebelum segera menghubungi ahli keluarga dan bergegas ke lokasi kemalangan.

"Apabila sampai di lokasi, saya melihat isteri arwah yang juga anak saudara saya berada di situ dalam keadaan sangat sedih. Saya hanya mampu menenangkannya," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved