Baru pulih masalah jantung, penjual goreng pisang maut kemalangan

LocalHealth & Fitness
3 Apr 2026 • 4:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Allahyarham Saiful atau lebih dikenali Epul Azmi Goreng Pisang yang baru pulih daripada masalah jantung maut kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Presint 17, Putrajaya awal pagi Jumaat.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Seorang penjual goreng pisang terkenal di Shah Alam, Azmi Goreng Pisang yang baharu beberapa hari pulang dari Sabah selepas menerima rawatan akibat masalah kesihatan berkaitan jantung maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Presint 17, Putrajaya awal pagi Jumaat.

Bapanya, Azmi Man, 72, berkata, anaknya, Allahyarham Saiful Adli Azmi, 42, sebelum itu rebah secara tiba-tiba ketika pulang berhari raya di rumah mentuanya di Kota Belud, Sabah dan terpaksa menerima rawatan di hospital sehingga menunda penerbangan pulang ke Semenanjung.

“Arwah ke Sabah sehari sebelum Aidilfitri dan mengalami masalah jantung ketika hendak keluar makan malam.

“Arwah ditahan di wad hospital selama beberapa hari dan terpaksa menunda penerbangan sebelum akhirnya pulang semula ke Putrajaya pada Rabu,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Azmi memberitahu, Allahyarham yang juga anak kedua daripada empat beradik itu sepatutnya memulakan semula perniagaan goreng pisang di Seksyen 18 esok (Sabtu).

“Arwah tetap datang menjenguk dan membantu walaupun tiba lewat kira-kira jam 5 petang semalam (Khamis),” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, arwah yang selesai mengemas gerai goreng pisang sempat melawatnya kira-kira jam 10 malam sebelum bergerak pulang ke rumah di Putrajaya.

“Saya dihubungi menantu memaklumkan arwah masih belum tiba sekitar jam 1 pagi, sedangkan kebiasaannya jam 11 malam dia sudah sampai di rumah.

“Saya hubungi arwah berkali-kali tetapi tidak berjawab. Kali terakhir saya telefon sekitar jam 2 pagi, pihak hospital pula yang menjawab dan memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Azmi berkata, berdasarkan maklumat awal polis, anaknya yang menunggang motosikal dipercayai terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.

“Kami masih menunggu laporan penuh dan siasatan lanjut daripada pihak polis berhubung kejadian ini,” katanya.

Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak berusia antara tiga hingga 15 tahun.

Mengulas lanjut, Azmi menyifatkan anaknya sebagai seorang yang pemurah dan disenangi ramai terutama pelanggan.

“Arwah memang suka bersedekah, kalau orang beli goreng pisang dia selalu beri lebih.

“Arwah sudah mengikuti saya berniaga goreng pisang lebih 30 tahun tetapi dia pergi dahulu menemui Ilahi,” jelasnya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Saiful Adli tiba di Masjid Nahdhah Al-Islam, Seksyen 18, di sini kira-kira jam 2.30 petang.

Jenazah kemudian disembahyangkan di masjid itu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya giat mengesan pemandu kereta dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari melibatkan Saiful Adli Azmi.

Katanya, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menerima maklumat kejadian pada kira-kira jam 11.50 malam.

"Siasatan awal mendapati sebuah kereta mengubah haluan untuk memasuki ke simpang kanan di lokasi kejadian sebelum melanggar mangsa.

"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh di pembahagi jalan. Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan tetapi telah disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan dunia semasa dalam perjalanan ke hospital," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemandu kereta terbabit.

Katanya, polis juga sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-88862138 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.