
Baru Tahu, Banjir Sebenarnya Boleh Sebabkan Perubahan Laluan Sungai
Sepanjang zaman, sungai telah menjadi nadi kehidupan bagi manusia dan alam sekitar. Dari dahulu, manusia membina kampung dan bandar di tepi sungai kerana sumber air, tanah subur, dan kemudahan pengangkutan.
Ini menunjukkan bahawa sungai bukan sekadar laluan air. Maka, perubahan laluan sungai akibat banjir boleh menjejaskan kehidupan manusia, flora dan fauna di sekitarnya.
Oleh itu, penting untuk memahami bagaimana sungai berubah, terutama semasa dan selepas banjir bagi merancang bandar pertanian dan perlindungan alam semula jadi.
Air sentiasa mencari laluan paling rendah
Menurut World Economic Forum, perubahan laluan sungai secara mendadak berlaku apabila terlalu banyak lumpur, tanah dan pasir terkumpul sehingga aliran asal mejadi sempit dan cetek.
Apabila sungai semakin sesak, air akan mula mencari jalan lain yang lebih rendah. Lama-kelamaan, air meninggalkan laluan asal dan mengalir sepenuhnya ke laluan baharu.
Contoh paling jelas berlaku pada tahun 2008 apabila Sungai Kosi di India berubah laluan lebih 60 batu dalam masa hanya beberapa hari sehingga menyebabkan lebih 3 juta penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka.
Di Amerika Syarikat, Sungai Mississipi sudah banyak kali berubah arah sejak 7 ribu tahun dahulu.
Hari ini, empangan dibina untuk menahan sungai itu daripada melimpah ke sungai bersebelahan, namun saintis memberi amaran bahawa banjir besar boleh meruntuhkan halangan ini dan menyebabkan kerosakan besar di Louisiana.
Sehingga kini, saintis masih belum benar-benar faham bila dan di mana perubahan seperti ini akan berlaku kerana kajian terdahulu hanya bergantung pada pemerhatian yang terhad.
Jenis perubahan laluan sungai
WEF turut melaporkan sebanyak 33 perubahan laluan sungai berlaku di kawasan kaki bukit yang luas, iaitu ketika sungai keluar dari kawasan sempit seperti gaung atau lembah berbatu.
Apabila sungai tidak lagi mengalir melalui kawasan sempit, air mempunyai lebih banyak ruang untuk melimpah ke kawasan yang lebih rendah.
Selain itu, sebanyak 80 perubahan laluan sungai yang lain pula berlaku di kawasan muara sungai, dan perubahan ini dipengaruhi oleh kawasan yang dipanggil zon belakang air.
Zon belakang air ialah bahagian sungai di mana kelajuan air dipengaruhi oleh kewujudan laut atau tasik di hujung sungai. Di zon ini, aliran sungai boleh menjadi lebih perlahan atau lebih laju bergantung pada keadaan banjir.
Sebagai contoh, Sungai Mississipi mempunyai zon belakang air sepanjang hampir 300 batu. Ini bermaksud kelajuan aliran sungai itu dipengaruhi oleh Teluk Mexico sehingga ke kawasan yang terletak di utara Baton Rouge, Louisiana.
Menurut WEF, sungai yang curam pula boleh mempunyai zon belakang air yang sangat pendek, contohnya hannya sekitar 0.6 batu.
Ketika sungai mengalir dalam keadaan normal, ia akan menjadi perlahan di zon belakang air dan mula melepaskan pasir, tanah dan lumpur ke dasar sungai.
Namun begitu, jumlah air yang lebih banyak dan aliran yang lebih laju akan menghakis dasar sungai ketika berlaku banjir.
Kesan ini bermula dari muara sungai, iaitu tempat air masuk ke laut atau tasik, kemudian bergerak ke arah hulu sungai, iaitu berlawanan dengan arah aliran air.
Pergerakan ini akan menghakis dan menghapuskan tanah yang terkumpul sebelum banjir berlaku.
Akhirnya, pertembungan antara proses mendalamkan dasar sungai dan proses mempertinggikannya kembali dengan tanah menyebabkan sungai menjadi sempit di satu lokasi yang biasanya bertepatan dengan panjang zon belakang air
Sesetengah sungai boleh mengubah laluan jauh di hulu
Namun, satu kategori baru perubahan laluan sungai di kawasan muara yang tidak berkaitan dengan sempitnya lembah atau panjang zon belakang air. Sungai-sungai ini mengubah laluan jauh di hulu, iaitu jauh dari tempat yang biasanya terjejas oleh tasik atau lautan di hujungnya.
Apabila sungai banjir, ia menghakis dasar sungai bermula dari muara dan bergerak ke hulu.
Bagaimanapun, gabungan antara tempoh banjir yang panjang dan jumlah tanah serta lumpur yang sangat banyak membolehkan proses penghakisan ini berlaku jauh ke hulu.
Akibatnya, sungai-sungai ini boleh mengubah laluan jauh di atas zon belakang air di mana perubahan laluan biasanya berlaku pada sungai besar di kawasan pesisir.
Lebih banyak air, lebih banyak tanah
Menurut WEF, hasil kajian menunjukkan bahawa lokasi perubahan laluan sungai di muara boleh berpindah dari lokasi sejarah ke kawasan baharu.
Peningkatan paras laut yang cepat boleh menyebabkan perubahan laluan berlaku lebih ke dalam tanah di muara sungai, sekali gus menempatkan komuniti baharu kepada risiko banjir yang dahsyat.
Perubahan iklim kini sedang meningkatkan banjir di banyak bahagian dunia dan membawa lebih banyak tanah serta lumpur ke dalam sungai.
Perubahan penggunaan tanah, seperti menukar hutan kepada kawasan pertanian, juga meningkatkan jumlah tanah dan lumpur dalam sungai.
BACA: Baru Tahu, Pakar Psikologi Dedah Bagaimana Otak Kita Bekerja Secara “Autopilot”
Sumber: World Economic Forum
The post Baru Tahu, Banjir Sebenarnya Boleh Sebabkan Perubahan Laluan Sungai appeared first on Siakap Keli.



