KALAU ikutkan, Merak Jalanan bukan suka membeli di bazar Ramadan. Kalau membeli pun hanya sejenis kuih atau beli air bungkus di kedai makan.
Cuma tahun ini Merak Jalanan kagum ramai peniaga mengekalkan harga jualan yang sama contohnya martabak RM5, sama seperti dua tiga tahun dahulu. Roti John pula ada yang naik, ada yang kekal.
Satu petang, Merak Jalanan terpandang satu gerai yang sunyi sepi. Kiri kanan orang beratur panjang, tetapi satu gerai di bazar itu pula seperti tak wujud. Tiada pelanggan dan peniaga pula hanya duduk termenung sepi.
Dalam hati wujud rasa simpati dan mempersoalkan kenapa tiada pelanggan yang datang membeli. Jadi Merak Jalanan pun singgah. Dalam hati terdetik, mungkin hari itu rezeki dia bermula dengan Merak Jalanan sebagai pelanggan pertama.
Merak Jalanan beli tanpa banyak soal. Niatnya hanya untuk beri sokongan kepada peniaga itu. Tapi bila tiba waktu berbuka, baru faham kenapa gerai itu sepi. Makanan dibeli kurang menepati selera. Bukan tak boleh makan, tapi tak sedap. Separuh jalan saja mampu ditelan. Selebihnya, tidak habis dimakan dan akhirnya terpaksa dibuang. Awalnya ikhlas membeli tetapi akhirnya menyesal sebab membazir.
Merak Jalanan tak mahu pukul rata. Bukan semua gerai sunyi itu tak sedap. Seperti seorang pengguna di TikTok yang membuat misi membeli di gerai tanpa pelanggan. Rupanya makanan yang dibeli sangat sedap. Esoknya gerai itu diserbu orang ramai. Rezeki melimpah sebab kualiti dan rasa memang ada.
Cuma pengajarannya mudah. Simpati boleh tarik pelanggan tetapi untuk bertahan, rasa dan kualiti tetap jadi penentu. Berniaga di bazar Ramadan pelanggan mungkin datang kerana kasihan tetapi mereka kembali kerana rasanya yang sedap.




