Bas 24 jam percuma, jemaah ke Masjidil Haram 5 minit

LocalTravel
30 Apr 2026 • 5:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bas 24 jam percuma, jemaah ke Masjidil Haram 5 minit
Mohd Hisham menampal pelekat pada bas bagi memudahkan jemaah mengenalpasti bas yang disediakan untuk mereka. Foto TH

MAKKAH - Prihatin dengan cabaran cuaca panas, Lembaga Tabung Haji (TH) tampil menyediakan perkhidmatan bas ulang alik percuma bagi memudahkan perjalanan ke Masjidil Haram.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, inisiatif yang bermula 30 April itu melibatkan penyediaan lapan bas yang beroperasi 24 jam dari Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesen Bas Jarwal yang terletak berhampiran dataran masjid.

Menurutnya, kemudahan tersebut memberi manfaat kepada kira-kira 14,000 jemaah yang menginap di kawasan berkenaan melibatkan hotel Al Kiswah, Al Tayseer dan Rehab Al Janadriyah, yang sebelum ini perlu berjalan kaki kira-kira 30 minit untuk ke masjid.

“Dengan adanya perkhidmatan bas ini, tempoh perjalanan kini hanya sekitar lima hingga 10 minit bergantung kepada keadaan trafik, diikuti kira-kira 10 minit berjalan kaki ke dataran Masjidil Haram.

“Ini bermakna hampir separuh perjalanan dapat dipendekkan, sekali gus mengurangkan keletihan jemaah dan membolehkan mereka lebih fokus kepada ibadah,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan itu turut boleh dimanfaatkan jemaah dari hotel berhampiran termasuk Al Kiswah yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit berjalan kaki ke lokasi menaiki bas.

Menurutnya, pelaksanaan perkhidmatan tersebut memerlukan perancangan rapi termasuk mendapatkan permit daripada pihak berkuasa tempatan selain melibatkan kos operasi.

“Bagi tempoh kira-kira 20 hari, kos perkhidmatan ini mencecah RM500,000 sebagai sebahagian usaha TH menambah nilai kepada kemudahan sedia ada,” ujarnya.

Tambah beliau, perkhidmatan itu dijangka beroperasi selama 20 hari, tertakluk kepada keadaan semasa termasuk kemungkinan penutupan laluan.

“Sekiranya keadaan mengizinkan, kita bersedia menambah jumlah bas daripada lapan kepada 10 dan seterusnya 12 buah mengikut keperluan jemaah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hisham berkata, maklum balas jemaah amat positif apabila ada dalam kalangan mereka berpeluang ke Masjidil Haram dengan lebih kerap berbanding sebelum ini.

“Jika sebelum ini ada yang hanya mampu menunaikan umrah pertama dan berehat di hotel, kini mereka boleh berulang-alik ke masjid dengan lebih mudah.

“Ini membuka peluang kepada jemaah untuk meningkatkan ibadah seperti solat dan tawaf, di samping membantu mereka menjaga tahap kesihatan terutama menjelang hari wukuf,” katanya.

Sementara itu, jemaah haji, Jamilah Mohd Saom berkata, dia sangat bersyukur dapat ke Masjidil Haram.

“Alhamdulillah bagi kami yang sudah berusia ini, sangat bersyukur dapat ke Masjidil Haram.

"Dua-dua memang tak larat nak berjalan, jadi sebelum ini kami hanya solat di surau sahaja kerana tiada kesempatan untuk ke masjid," katanya.

Wahid Mawi pula berkata, dia ucapkan terima kasih kepada TH kerana menyediakan bas ini sekali gus memudahkan golongan berusia sepertinya.