
MARAN – Seramai 19 pelajar dan dua guru dari Pondok Tahfiz Allauddin, Bandar Pusat Jengka di sini berdepan detik cemas apabila bas dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Jalan Besar Jengka 18, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, empat individu termasuk pemandu dan penumpang bas mengalami kecederaan ringan selepas terkena serpihan kaca, manakala penumpang lain tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kemalangan membabitkan sebuah treler jenis Volvo dan bas yang membawa pelajar serta guru berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati treler berkenaan dalam perjalanan dari arah Kampung Awah menghala ke Bandar Jengka.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, treler dipercayai terbabas dan pemandunya gagal mengawal kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan. Pada masa sama, bas yang datang dari arah Bandar Jengka menuju Kampung Awah tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kiri treler berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Kim Wai, empat individu yang berada di dalam bas mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan kaca susulan perlanggaran itu, manakala pemandu treler dan penumpang lain dalam bas tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu treler yang gagal mengawal kenderaannya sehingga memasuki laluan bertentangan. – KOSMO! ONLINE
The post Bas bawa pelajar tahfiz bertembung treler appeared first on Kosmo Digital.






