
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini negara dikejutkan dengan insiden kemalangan bas persiaran yang membabitkan seramai 44 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, semalam (9 Jun).
Ekoran daripada kemalangan yang berlaku seramai 15 pelajar dari UPSI dilaporkan meninggal dunia dan tujuh lagi cedera parah.
Insiden membabitkan bakal-bakal guru itu nyata meruntun hati orang ramai apatah lagi mereka dalam perjalanan pulang ke tempat belajar sewaktu insiden berlaku.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Nahas Bas UPSI: Pemandu Mohon Maaf Kepada Keluarga & Pelajar, Dakwa Brek Tiba-Tiba Tak Berfungsi
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Nahas Bas UPSI: Pemandu Ada Rekod 18 Saman, Kebanyakan Kesalahan Kerana Memandu Laju
BACA ARTIKEL BERKAITAN: [Video] Bas Bawa Pelajar UPSI Terbalik Di Jalan Jeli – Gerik, 15 Maut & Tujuh Parah
Bas ekspres bawa 13 pelajar UMPSA terbabit kemalangan, rempuh belakang treler di LPT 1
Terbaharu, berlaku satu lagi kemalangan bas ekspres yang membawa 28 penumpang termasuklah seramai 13 orang pelajar dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Insiden itu difahamkan berlaku selepas bas ekspres yang dinaiki oleh penumpang dan pelajar berkenaan merempuh belakang treler di Kilometer 161.5 di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), Maran, Pahang pada awal pagi tadi (10 Jun).
Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada jam 1 pagi, bas itu dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur menuju ke Terminal Sentral, Kuantan, Pahang.
Bas ekspres langgar belakang treler yang ada di lorong kiri
Jelas Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai menerusi siasatan awal mendapati pemandu bas yang berusia 38 tahun tersebut telah melanggar belakang treler yang berada di lorong kiri.
“Ketika kejadian, treler tersebut sedang bergerak lurus di lorong kiri sebelum dirempuh dari belakang oleh bas yang membawa 28 penumpang termasuk mahasiswa.
“Tiada kecederaan melibatkan semua mangsa termasuk pemandu kedua-dua kenderaan serta kelindan lori. Kesemua penumpang dipindahkan ke bas gantian sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan,” ujarnya, lapor Kosmo.
Punca insiden dipercayai kecuaian pemandu bas
Menurut beliau lagi, siasat awal yang dilakukan mendapati punca insiden disebabkan kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaan dipandu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
UMPSA sahkan 13 pelajar naiki bas ekspres selamat tiba di kampus
Dalam pada itu, Pusat Komunikasi Korporat UMPSA turut memaklumkan 13 pelajar UMPSA telah tiba di kampus dalam keadaan selamat.
“Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias mengesahkan menerima laporan seramai 13 pelajar UMPSA yang sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) jam 8.30 malam tadi ke Kuantan (hentian bus UMPSA Gambang) menaiki bas awam terlibat kemalangan pada jam sekitar 2 pagi ini di Maran, Pahang,” ujarnya.
Menurutnya kesemua pelajar universiti itu telah selamat tiba di kampus dengan menaiki bas gantian yang disediakan pengusaha bas tersebut kira-kira jam 4 pagi tadi.
“Dengan bantuan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pelajar yang tiba di Masjid UMPSA Gambang disantuni serta diberikan bantuan dan sokongan segera seperti menyediakan makanan, sokongan emosi dan tempat kediaman sementara bagi tujuh orang pelajar Pekan.
“Pihak UMPSA juga menyediakan pek bantuan yang merupakan makanan (express meal) dan lain-lain keperluan segera buat pelajar.”

Source:




