Bas ekspres bawa 39 penumpang terbabas elak motosikal

22 Mar 2026 • 6:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebuah bas ekspres terbabas ketika cuba mengelak sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Kampung Paris 2 Jalan Sandakan-Lahad Datu, Kinabatangan pada Ahad.

KINABATANGAN - Seramai 39 penumpang berdepan detik cemas apabila bas ekpres yang dinaiki terbabas ketika cuba mengelak sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Kampung Paris 2 Jalan Sandakan-Lahad Datu di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, kesemua penumpang termasuk seorang pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintenden D Ravi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan melibatkan bas yang turut tular di media sosial.

"Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres jenis Scania yang dipandu seorang lelaki dan membawa 39 penumpang dan sebuah motosikal.

"Siasatan awal mendapati, bas tersebut dari arah Kota Kinabalu menuju ke Semporna namun ketika tiba di lokasi terdapat sebuah motosikal telah keluar dari simpang sebelah kiri secara mengejut dan pemandu cuba mengelak kenderaan tersebut ke sebelah kiri baju jalan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, bas berkenaan kemudian telah hilang kawalan dan menyebabkannya terbabas ke bahu jalan sebelah kiri kawasan berumput.

Susulan kejadian itu, Ravi berkata, kes dicadangkan untuk disiasat dibawah Kaedah Lalulintas 10 LN166/59.